Perak Hari Ini

Gunung Lang Sedia Terima Lebih Ramai Pelancong

IPOH: Kedatangan pelancong ke Gunung Lang semakin bertambah saban hari sehingga menyebabkan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) perlu menambah jumlah bot bagi menampung kapasiti pengunjung.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamry Man berkata, 3 buah bot bagi membawa pelancong sekitar tasek di Gunung Lang tidak mencukupi dan disebabkan itu MBI telah memohon 2 bot tambahan.

Sebelum ini hanya penduduk sekitar Ipoh yang kerap ke Gunung Lang namun kini katanya kemasukan bas-bas yang membawa pelancong semakin bertambah.

“Kapasiti semakin ramai sebab tu memerlukan penambahan bot. Ini kerana sebelum ini hanya kereta sahaja yang singgah namun kini, bas-bas yang pelancong juga dah mula datang ke Gunung Lang.

“Pengunjung hari biasa ke Gunung Lang adalah sekitar 3,000 tapi bila musim cuti kedatangan boleh mencecah sehingga lebih 6,000,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Bot Penumpang di Taman Rekreasi  Gunung Lang.

Turut hadir ke majlis berkenaan adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim.

Rusnah ketika ditemui memberitahu bahawa kerajaan negeri sedia maklum akan jumlah bot yang tidak mencukupi di Gunung Lang.

Bagaimanapun disebabkan kosnya yang agak tinggi iaitu sekitar RM 219 ribu justeru katanya, untuk peringkat awal hanya satu bot tambahan disediakan.

“Memang tidak cukup, sebab mula-mula ada 3 bot sahaja disediakan dan hari ini kita tambah lagi satu.

“Jadi dalam perancangan Datuk Bandar untuk menambah lagi 2 bot tapi disebabkan kosnya agak tinggi, jadi kita luluskan untuk sebuah bot sahaja dulu.

Rusnah menambah, keadaan di Gunung Lang dilihat semakin ceria jika dibanding sebelum ini.

Jelasnya lagi, disebabkan Ipoh dikomersialkan sebagai Bandaraya Bougainvillea maka aspek keceriaan serta tanaman yang berwarna-warni perlu disertakan.

“Saya rasa mungkin kita perlu tambah pokok-pokok Bougainvillea di sekitar tasek ini. Jadi dengan keindahan tasek dan diserikan bunga yang berwarna warni maka ia sekaligus akan mengindahkan lagi Gunung Lang,” katanya lagi.

 

 

 

 

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");