Sukan Hari Ini

Hafizh Pencabar Baharu Rossi, Marquez

KUALA LUMPUR: Prestasi yang memberansangkan ketika sesi ujian pramusim di Thailand ming­gu lalu telah meyakinkan Monster Yamaha Tech3 untuk menjadikan Hafizh Syahrin Abdullah sebagai pelumba pertama Asia Tenggara bersaing dalam MotoGP.

Ini bermakna Hafiz akan menjadi pencabar terbaharu kepada pelumba legenda Valentino Rossi, Marc Marquez dan Jorge Lorenzo dalam kelas tertinggi perlumbaan kejohanan motosikal dunia itu, bermula di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 18 Mac ini.

Orang yang me­mainkan pera­nan penting dalam memastikan perjanjian saat akhir itu berjaya iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali ketika me­ngumumkan sejarah baharu arena sukan permotoran negara itu berkata pihaknya berharap Hafiz akan dapat memberikan cabaran hebat kepada pelumba lain.

“Pada pukul 4 petang ini kami telah dapat pengesahan bahawa Hafizh akan berlumba untuk Monster Yamaha Tech3. Ini satu sejarah buat negara kita dan ini juga adalah rezeki buat Hafizh dan hadiah buat rakyat Malaysia.

“Ini adalah pengumuman bersejarah untuk sukan permotoran negara. Selepas 27 tahun me­nganjurkan MotoGP, kali pertama di Litar Batu Tiga, diikuti Pasir Gudang dan kemudian Sepang, kita akhirnya mempunyai pelumba pertama bertanding dalam kelas perdana,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini, hari ini.

Hafizh telah diuji oleh Monster Yamaha Tech3, yang berpangkalan di Perancis, selama tiga hari di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand berakhir Ahad lalu di mana dia mempamerkan pe­ningkatan prestasi dalam setiap ujian.

Hafizh bakal bergandingan dengan pelumba Perancis, Johann Zarco yang merupakan pelumba rookie terbaik tahun lalu bagi menggantikan Jonas Folger dari Jerman yang menarik diri atas faktor kesihatan. Monster Yamaha Tech3, yang merupakan antara pasukan bukan pengeluar terkuat dalam persaingan MotoGP, meng­ikat kontrak setahun dengan pelumba dari Selangor itu.

Sementara itu, Hafizh dalam sidang akhbar sama mendedahkan bahawa dia mengetahui tawaran untuk menyertai pasukan Monster Yamaha Tech3 pada 28 Januari lalu ketika sedang berbasikal bersama Adam Norrodin di Sepanyol menerusi satu panggilan telefon daripada Razlan.

“Ketika itu Datuk Razlan meng­hubungi saya untuk memberitahu berita bahawa saya tidak akan dapat beraksi dalam Moto2. Mende­ngar perkara tersebut membuatkan saya amat terkejut sambil memikirkan apa salah saya sehinggakan tidak dapat berlumba namun selepas itu beliau memberitahu bahawa saya tidak dapat beraksi dalam kelas tersebut kerana akan menyertai MotoGP.

“Dapat beraksi dalam perlumbaan MotoGP umpama mimpi yang menjadi kenyataan. Peluang ini amat menggembirakan saya. Saya bertambah gembira kerana dapat menunggang jentera Yamaha YZR-M1.

“Sejak dahulu lagi saya mahu beraksi menggunakan jentera Yamaha kerana karakter motosikal tersebut amat sesuai dengan gaya tunggangan saya. Ketika sesi ujian di Buriram saya mampu mencatat kelajuan 327 kilometer (km/j)…amat mudah untuk mencapai tahap kelajuan tersebut menggunakan jentera MotoGP.

“Misi utama saya kini adalah untuk memastikan dalam setiap perlumbaan catatan masa saya tidak terlalu jauh dengan pelumba hadapan, kalau boleh tidak mahu ketinggalan tiga atau empat saat,” katanya.

– Utusan Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");