MACHANG – Sebanyak 984 kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan juvana direkodkan pada tahun lalu dengan 145 daripadanya melibatkan pelajar dan murid sekolah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, angka tersebut menunjukkan trend peningkatan berbanding tahun sebelumnya dan pihaknya memandang serius perkara tersebut.
Katanya, murid-murid seawal usia sembilan tahun dikesan positif dadah dan pihaknya percaya pengaruh rakan antara punca utama golongan muda mudah terjebak dengan dadah.
Beliau berkata, selain rakan, ibu bapa yang menghisap dadah juga dikenal pasti antara faktor penyumbang kepada penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan remaja terutama murid dan pelajar sekolah.
“Dalam menangani perkara tersebut, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memainkan peranan yang besar dengan melaksanakan ujian air kencing di sekolah-sekolah.
“Anak muda suka mencuba dan menunjukkan ‘kehebatan’ mereka, salah satu cara menzahirkan perkara tersebut adalah dengan menghisap dadah. Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memantau pergaulan anak masing-masing ,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Minggu Disiplin, Pertauliahan Pengawas dan Ketua Tingkatan serta Perhimpunan Bulanan Kokurikulum di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah di sini hari ini.-Sinar