Berita Hari Ini

Hutang Luar Malaysia Kekal Terurus: BNM

KUALA LUMPUR: Hutang luar Malaysia kekal terurus berdasarkan profil mata wang dan tempoh matang serta aset luaran yang tersedia dalam jumlah yang besar, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Setakat akhir Disember 2017, hutang luar Malaysia berjumlah RM883.4 bilion atau bersamaan dengan US$215.5 bilion atau 65.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Disember 2017 berbanding RM873.8 bilion atau US$204.7 bilion atau 64.6 peratus daripada KDNK pada akhir September 2017.

Bernama hari ini melaporkan, bank pusat itu berkata hutang luar lebih tinggi itu mencerminkan peningkatan dalam pinjaman, peminjaman antara bank dan pemegangan sekuriti hutang domestik oleh bukan pemastautin.

Ini sebahagiannya diimbangi oleh kesan penilaian berikutan pengukuhan nilai ringgit berbanding mata wang utama dan serantau terpilih dalam suku keempat 2017 itu.

“Lebih satu pertiga daripada jumlah hutang luar negeri dalam denominasi ringgit (34.3 peratus), terutamanya dalam bentuk pemegangan sekuriti hutang domestik dan deposit ringgit oleh bukan pemastautin dalam institusi perbankan domestik.

“Oleh itu, liabiliti ini tidak tertakluk kepada perubahan penilaian yang berpunca daripada turun naik kadar pertukaran ringgit,” kata BNM.

Baki hutang luar sebanyak RM580.7 billion (65.7 peratus) adalah dalam denominasi mata wang asing dan tertakluk kepada keperluan amalan pengurusan mudah tunai dan perlindungan nilai yang berhemat terhadap institusi perbankan dan syarikat.

“Sebahagian besar daripada obligasi ini terdiri daripada peminjaman luar pesisir, yang diperoleh terutamanya untuk mengembangkan kapasiti produktif dan mengurus sumber kewangan kumpulan korporat yang lebih baik,” katanya.

Pada akhir bulan Disember 2017, peminjaman luar pesisir kekal rendah pada 37.5 peratus daripada KDNK berbanding dengan 60 peratus daripada KDNK ketika Krisis Kewangan Asia.

Menurut bank pusat itu, daripada jumlah hutang luar dalam denominasi mata wang asing (meliputi kesan penilaian), lebih satu pertiga (atau berjumlah RM211.6 bilion) merupakan peminjaman antara bank dan deposit dalam denominasi mata wang asing dan deposit denominasi mata wang asing dalam sistem perbankan domestik.

Ini sebahagian besarnya mencerminkan pengurusan mudah tunai antara kumpulan bank dan penempatan deposit daripada entiti induk asing yang tertakluk kepada amalan pengurusan mudah tunai berhemat.

Antaranya ialah had dalaman bagi pendanaan dan ketidakpadanan tempoh matang.

“Ini diikuti oleh bon dan nota jangka panjang yang diterbitkan di luar pesisir sebanyak RM154.2 bilion pada akhir bulan Disember 2017, terutamanya untuk membiayai pemerolehan aset di luar negara untuk menjana pendapatan akan datang,” katanya.

Pinjaman antara syarikat biasanya tertakluk kepada terma yang fleksibel dan kadar faedah yang lebih rendah, seperti tiada jadual pembayaran balik yang tetap atau kadar faedah yang rendah, kata BNM.

Menurut bank pusa itu, dari segi perspektif tempoh matang, lebih separuh daripada jumlah hutang luar menjurus pada tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang (57.3% daripada jumlah hutang luar) yang menggambarkan bahawa risiko pembiayaan semula adalah terhad.

Berdasarkan pemerolehan eksport peminjam dan aset luaran, BNM berkata adalah penting untuk diketahui bahawa rizab antarabangsa bukanlah satu-satunya cara bagi bank dan syarikat untuk memenuhi obligasi luar jangka pendek mereka.

Rizab antarabangsa merangkumi kira-kira satu perempat daripada jumlah aset luaran dengan aset luaran yang selebihnya dipegang oleh bank dan syarikat.

“Pada 30 Jan, 2018, rizab antarabangsa adalah 1.1 kali hutang luar jangka pendek dan memadai untuk membiayai 7.2 bulan import tertangguh,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");