Perak Hari Ini

Imigresen Berkas Dalang Pemalsuan Pasport, Buku Nikah Palsu

IPOH:Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen Buku Nikah dan Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang dipercayai diseludup masuk dari Indonesia untuk tujuan pasaran di negara ini.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Sri Mustafar Ali, berdasarkan risikan dilakukan Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa seorang lelaki warganegara Indonesia 44 tahun yang merupakan dalang utama dalam sindiket pemalsuan dokumen itu diberkas dalam satu serbuan yang dijalankan semalam.

“Suspek pakar dalam melakukan pengubahsuaian pasport Indonesia, Bangladesh dan Pakistan malah pasport yang telah tamat tempoh atau milik orang lain telah diubahsuai mengikut kehendak pelanggan.

“Hasil serbuan pihak Imigresen telah menjumpai 10 paket Pas Lawatan Kerja sementara (PLKS), 32 buah pasport Indonesia yang disyaki telah diubahsuai, 6 buah pasport Bangladesh yang disyaki diubasuai, dua pasport Pakistan, 12 buku nikah palsu dan 70 koyakan butiran utama penama pasport Indonesia yang telah diubahsuai.

“Turut dirampas dua pelekat Malaysia Visa Pass disyaki palsu, dua kad CIDB palsu, satu set lengkap alat laminating film, alatan pengubahsuai pasport, kad pengenalan penduduk tetap Malaysia disyaki palsu serta cop-cop keselamatan, kedutaan Indonesia yang disyaki palsu,” katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri majlis penutupan Asas Pasukan Khas Jabatan Imigresen Malaysia di Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta (PGA) di sini hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek telah menjalankan aktiviti tersebut selama dua tahun dengan membekalkan pasport serta Buku Nikah dari Madura Indonesia.

“Bagi mendapatkan aspek kerja, permit masuk mereka memerlukan pertalian kekeluargaan jadi mereka palsukan jadi sindiket ini telah mengoyakkan buku pasport yang asal dan tidak menggunakan peralatan canggih tetapi hanya menampal semula dengan kaedah tradisional.

“Bekalan tersebut akan diseludup masuk secara berperingkat iaitu tiga hingga lima naskah dengan upah tertentu diserahkan kepada dalang dan dijual sekitar harga RM200 hingga RM300,”katanya.

Sindiket yang dipercayai aktif di sekitar Kuala Lumpur hanya mengambil masa sekitar 4 jam hingga 24 jam bagi menyiapkan satu dokumen bergantung kepada stok bekalan.

“Sindiket ini memperolehi keuntungan sekitar RM80,000 sepanjang tempoh aktiviti pemalsuan itu dijalankan dan modus operandi yang digunakan hanya akan menerima tempahan melalui kenalan atau individu yang dibawa oleh kenalannya,” katanya.

Jabatan Imigresen katanya memandang serius mengenai perkara ini dan sama sekali tidak akan berkompromi dan dalang sindiket tersebut akan terus diburu secara berterusan bagi membendung jenayah pemalsuan dokumen.

“Tiada dalang melibatkan orang tempatan tetapi suspek dipercayai warga Indonesia dan dibantu oleh warga Indonesia yang menetap di negara ini,” katanya.

Terdahulu seramai 40 orang peserta kursus dilatih menerusi pasukan taktikal Khas bagi siri pertama dan 20 orang anggota akan ditempatkan di Ibu Pejabat Putrajaya dan selebihnya di kawasan dalam setiap negeri yang terpilih.

Pasukan Taktikal Khas ini merupakan langkah persediaan pihak Imigresen bagi menguruskan kes berprofil tinggi dan kes yang memerlukan iring kawal khas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");