Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sekadar menafikan segala keraguan yang timbul dalam urusan pembangunan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang dan mendakwa dirinya sebagai mangsa serangan fitnah jahat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, daripada menjadi burung kakak tua mengulangi dakwaan tidak masuk akal, Guan Eng patut menjawab segala keraguan termasuk isu berkaitan modal berbayar, kajian kebolehlaksanaan terutama berkaitan projek terowong dan tiga lebuh raya berkenaan.
“Beliau harus memberikan bukti jelas terhadap sebarang keraguan atau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu berkenaan dan meminta maaf. Pengulangan tidak mengubah pembohongan kepada kebenaran. Guan Eng, jadilah seperti Ketua Menteri,” katanya dalam kenyataan disiarkan menerusi Facebooknya, lewat petang semalam.
Didalam kenyataan panjang lebar itu, Ka Siong menjawab 10 tuduhan dilemparkan oleh Guan Eng kononnya Timbalan Presiden MCA itu berbohong dan tidak memberikan fakta tepat berhubung projek terowong.
Antara yang disentuh Ka Siong termasuklah berkaitan wujudnya unsur rasuah dan sogokan bernilai jutaan ringgit kepada pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang.
“Tidak seperti Lim Guan Eng dan rakan-rakannya, saya tidak membuat dakwaan atas angin. Apa yang saya lakukan sehingga kini adalah menimbulkan keraguan munasabah, disokong oleh bukti berdokumen, terhadap kontroversi dan kelewatan berhubung cadangan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang dan 3 Lebuhraya.
“Ianya adalah langkah semak dan imbangan dibawah politik berdemokrasi,” kata Ka Siong.
Menjawab penafian Guan Eng bahawa beliau tidak pernah menyebut China Railway Construction Corporation Ltd (CRCC) pemegang saham syarikat Zenith Consortium Sdn Bhd, Menteri berkenaan menjelaskan bahawa fakta tersebut disiarkan sendiri media rasmi kerajaan DAP Pulau Pinang, Buletin Mutiara.
“Penerbitan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Buletin Mutiara pada isu Mac 2013 secara jelas menyatakan Zenith Consortium adalah sebahagian daripada 5 syarikat konsortium, termasuk CRCC.
“Lebih penting, kerana penglibatan CRCC konsortium boleh mendapat modal berbayar RM4.5 bilion. Lim Guan Eng pada empat majlis telah menyebut mengenai modal berbayar RM4.5 bilion,” ujarnya.
Ikuti penjelasan lengkap Wee Ka Siong menjawab 10 tuduhan dilemparkan oleh Guan Eng menerusi pautan dibawah.
Jelas beliau, Guan Eng banyak melakukan pusingan-U dan memutar belit fakta bagi menjustifikasikan kenyataan pembohongannya bagi tampak benar.
“Secara kesimpulannya, dari mula hingga ke penghujung, mentaliti Guan Eng ibarat burung unta. Beliau hidup didunianya sendiri, dikelilingi dengan kepuasan diri sendiri, dan menganggap rakyat tidak dapat melihat masalahnya dengan jelas atau apa sahaja yang disia-siakannya.
“Isu-isu melibatkan kepentingan dan kebajikan orang awam seperti inilah yang mencemarkan kepercayaan rakyat,” katanya lagi.
– mD