Isu Panas

Jadikan Pengajaran Hilang Kerusi Parlimen Gelang Patah

JOHOR BAHRU – Para pemimpin Barisan Nasional (BN) dan rakyat di negeri ini khususnya pengundi kerusi Parlimen Gelang Patah diingatkan supaya menjadikan kehilangan kerusi parlimen berkenaan kepada pembangkang sebagai satu pengajaran.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata semua yang berlaku sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mempunyai sebab dan semua pihak terutamanya jentera BN perlu bangkit semula menawan hati pengundi.

“Jangan ambil mudah apa yang kita ada. Saya ingatkan jentera BN tadi (semasa berucap) apa yang ada di dalam dewan ini tidak cukup, sebaliknya jentera mesti mendekati pengundi di luar dewan.

“Visi kami adalah untuk lihat kempen kami secara sihat, gerakan kami tidak menjurus kepada menanam kebencian dan perpecahan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jalinan mesra sempena Tahun Baharu Cina di Skudai, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MCA Gelang Patah Datuk Jason Teoh Sew Hock dan Ketua Umno Bahagian Gelang Patah Mohammad Khairi A. Malik.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas berkata apa yang dilalui sejak PRU13 juga bukan mudah, namun, ujian tersebut merupakan kekuatan untuk semua pihak bersama-sama bangkit merampas kerusi yang dimenangi pembangkang di negeri ini.

“Dalam memasuki tahun baharu ini (Tahun Baharu Cina), kami hanya ada dua pilihan iaitu mahu bangkit atau menyerah kalah. Kalah benar-benar mahu berpolitik, maka, inilah masanya,” katanya.

Anggota Parlimen Sembrong itu berkata beliau juga kagum dengan gagasan ‘Johor Berkemajuan’ dan ‘Membangunkan Dekad Baharu’ yang diperkenalkan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam membangunkan negeri ini.

“Ini perjuangan yang tiada noktahnya dan perlukan sokongan seluruh rakyat Johor. Perkara ini juga memerlukan kesatuan politik, insya-Allah kita dapat bangunkan negara yang bersatu padu,” katanya.

Ditanya pemberita adakah Teoh calon sesuai ditampilkan BN bagi merampas semula kerusi Parlimen Gelang Patah, Hishammuddin berkata ia terserah kepada pucuk pimpinan MCA dan diputuskan oleh Perdana Menteri.

Katanya, apa yang penting calon yang bakal dipertandingkan BN pada PRU14 kelak adalah calon diterima rakyat lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");