Isu Panas

Jangan Asyik Buruk Sangka: Tok Pa

KOTA BHARU – Pemikiran negatif dan buruk sangka menjadi halangan dan ‘pintu besi’ kepada hubungan antara ulamak dan umarak pada masa kini, kata Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurutnya, berlakunya pemisah ini adalah disebabkan sikap masyarakat itu sendiri yang mungkin termakan dengan fitnah dan juga syak wasangka yang membawa kepada pandangan buruk terhadap orang lain.

“Ambo masih ingat lagi, berhenti solat Zohor di sebuah masjid, ada orang sebut, “Smaye (solat) jugak Tok Pa rupanya”.

“Dan ada seorang hamba Allah bercerita padanya, beliau pernah bersalam dengannya selepas solat Jumaat, 10 tahun lalu, namun selepas bersalam, cepat-cepat dia pergi basuh tangan, sebab katanya tangan Tok Pa ni kotor. Kotor dengan pelbagai kejahatan. Saya hanya mampu tersenyum dengar cerita itu,” katanya hari ini lapor Sinar Harian.

Beliau menyampaikan ucapan di Majlis Himpunan Warga Tahfiz anjuran Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) negeri dan turut dihadiri Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd Syahbuddin Hashim dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Datuk Yahaya Mamat.

Menurutnya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program bagi memberi pendedahan dan membuka minda yang luas kepada masyarakat supaya budaya pemisah tersebut tidak menjadi dinding kepada pemimpin dan masyarakat.

Malah Ahli Parlimen Jeli itu juga memberitahu, bukan itu sahaja, malah kerajaan sedaya upaya melaksanakan program yang membawa kebaikan kepada semua pihak, yang mana ke arah amal makruf, nahi mungkar.

“Kita mahu buat amal makruf, nahi mungkar, nak buat benda baik. Sudah pasti ambo tidak sempurna, namun ambo mahu kebaikan ini kita kongsi bersama. Kita kena saling menegur, berani kerana benar. Jadi kita ambil sikap terbuka untuk dengar daripada semua masyarakat. “Tegurlah, tetapi dengan penuh baik, tertib, supaya kita tidak menimbulkan fitnah dan sebagainya.

“Alhamdulillah, dengan adanya himpunan seperti ini, kita tahu bahawa kita mempunyai satu kelompok masyarakat yang berguna kepada bangsa, agama dan negara,” katanya.

Katanya lagi, beliau mahu negara ini jadi contoh kepada negara Islam yang lain walaupun Malaysia kini dikenali sebagai salah sebuah negara model untuk negara Islam, sekali gus menjadi contoh kepada negara lain.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");