Berita Hari Ini

Jangan Guna Ruang Awam Untuk Jadi Hak Sendiri – Halimah

KOTA TINGGI – Penduduk yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) dinasihatkan agar menjadi penghuni yang bertanggungjawab dan menghormati hak orang lain dengan cara tidak menggunakan ruang awam untuk dijadikan hak sendiri.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata penghuni atau pemilik PPR diharapkan menjadi rakyat yang bertanggungjawab supaya dapat mengelakkan kes-kes seperti baling kerusi atau baling barang-barang yang tak diperlukan sehingga boleh menyebabkan kemalangan jiwa.

Menurutnya, meskipun dilihat sebagai sesuatu yang remeh, perbuatan itu boleh mengundang bahaya memandangkan lokasi tersebut merupakan laluan kecemasan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti kebakaran.

“Jadilah penghuni yang bertanggungjawab, kita hormati hak yang lain dan gunakan ruang yang ada yang memang hak kita. Bukan sebaliknya guna ruang awam untuk dijadikan hak kita kecuali ada persetujuan bersama penduduk.

“Itu pun mestilah ada pertimbangan budi bicara. Jangan ambil keputusan sendiri tanpa memikirkan keselamatan dan keselesaan orang lain,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) di Bandar Tenggara, di sini hari ini.

Halimah yang juga Ahli Parlimen Tenggara diminta mengulas tentang laporan berita mengenai tindakan sesetengah penghuni yang menjadikan laluan koridor dan tangga PPR dan Perumahan Awam (PA) sebagai ‘stor’ meletakkan pelbagai barangan.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");