Berita Hari Ini

‘Jangan Letakkan Kesalahan Atas Cara Pemakaian’

KUALA LUMPUR: Akta baharu menangani gangguan seksual, termasuk membabitkan golongan belia yang ketika ini semakin menular wajar digubal secepat mungkin.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata usaha mewujudkan peruntukan undang-undang khas itu dalam fasa kajian oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sehubungan itu, pihaknya akan mengetengahkan beberapa cadangan berkaitan dikemukakan Parlimen Belia Malaysia (PBM) kepada kementerian berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Memang betul peruntukan undang-undang sedia ada menerusi kanun keseksaan boleh digunakan dalam mengadili kesalahan gangguan seksual, namun ia memerlukan penambahbaikan dengan mewujudkan akta khusus.

“Gangguan seksual boleh mengundang kepada perlakuan lebih serius, termasuk rogol seperti yang berlaku terhadap atlet negara,” katanya pada sidang media selepas menggulung perbahasan PBM Sidang Pertama 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

Jurulatih pasukan terjun kebangsaan, Huang Qiang, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, pada 11 Oktober 2017 atas dakwaan merogol seorang penerjun negara berusia 20 tahun di Kompleks Akuatik Negara, Bukit Jalil, pada 26 September lalu.

Tertuduh yang dilahirkan di China, namun mendapat kewarganegaraan Malaysia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Khairy berkata, tindakan segelintir masyarakat menuding jari kepada wanita, kononnya pakaian mencolok mata adalah antara punca gangguan seksual sewajarnya tidak betul.

“Janganlah kita sibuk meletakkan kesalahan terhadap aspek pemakaian wanita, sebaliknya berganding bahu memberikan penyelesaian bersifat menyeluruh dan tuntas,” katanya.

Menyentuh perkembangan PBM, Khairy berkata, tanggapan pentas perbahasan diwujudkan sejak April 2014 itu hanya untuk golongan belia yang mempunyai kecenderungan fahaman politik terhadap kerajaan adalah tidak benar.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, wakil PBM mengikut negeri ditentukan melalui undian menerusi dalam talian yang dilaksana setiap dua tahun.

“Wakil PBM mana yang akan menyertai sidang setiap tahun tidak ditentukan kementerian saya atau dipengaruhi sesiapa, sebaliknya saringan dilaksana secara undian.

“Kalau belia yang mempunyai fahaman politik berbeza ingin menyertai PBM, justeru mereka dijemput untuk menyertai proses undian sama sebelum terpilih mewakili negeri masing-masing,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");