Sukan Hari Ini

Jun-Hyeob Jadi Pilihan TFC

PEMAIN kelahiran Korea Selatan, Lee Jun-hyeob, sah menjadi awang import kelima Terengganu FC (TFC) selepas mengikat kontrak semusim bersama pasukan itu, semalam.

Menurut laporan Stadium Astro, Jun-hyeob, 28, dipilih selepas rakan senegaranya, Kim Hyun Woo, terpaksa melupakan hasrat menyarung jersi hitam putih gara-gara kecederaan serius dan terpaksa direhatkan enam bulan.

Tonggak yang beraksi di bahagian serangan itu berkata dia tidak berdepan masalah untuk segera menyesuaikan diri dengan bola sepak Malaysia, malah teruja dengan cabaran yang menantinya.

“Saya pernah beraksi di Kemboja serta tidak sabar untuk beraksi membantu TFC yang dibarisi pemain berkualiti, antaranya penyerang berbisa, Kipre Tchetche,” ujar Jun-hyeob.

Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim, pula menyifatkan kehadiran Jun-hyeob sebagai tepat pada masanya menjelang aksi kedua Liga Super bertemu Kelantan di Kota Bharu, esok.

Mengakui terpikat dengan kelibat pemain itu yang membantu Army FC menewaskan TFC dalam perlawanan pra-musim, bulan lalu, Irfan berharap Jun-hyeob segera menunjukkan rentak sebenar.

“Mungkin dia akan diturunkan nanti bagi mencipta keserasian bersama empat pemain import lain dan pemain-pemain tempatan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");