Berita Hari Ini

Kaji Semula Hantar Pulang Pelarian Rohingya Ke Myanmar

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) kesal terhadap tindakan Kerajaan Bangladesh yang memutuskan untuk menghantar semula pelarian Rohingya di kem ke negara asal, Myanmar.

Pengurus Besar Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor, berkata pihaknya mencadangkan proses penghantaran semula etnik Rohingya ke negara asal dihentikan serta-merta sehingga mereka diberikan hak yang utama iaitu kewarganegaraan.

Beliau berkata, cadangan itu diutarakan bagi memastikan masyarakat Rohingya dapat pulang ke negara asal mereka tanpa rasa takut dan risau.

Katanya, ketika ini Bangladesh mencatatkan jumlah tertinggi iaitu kira-kira 900,000 pelarian baharu yang sedang berlindung, selain di beberapa negara berhampiran termasuk Malaysia.

“Cadangan menghantar pelarian Rohingya di Bangladesh pulang ke Myanmar dalam tempoh terdekat perlu dinilai secara teliti dengan melihat kesan negatif dan positif terhadap mereka.

“Ini mengambil kira keadaan semasa negara berkenaan dan di wilayah Arakan (Rakhine) yang tidak mempunyai jaminan keamanan,” katanya menerusi laporan BH Online, hari ini.

Mohd Hakim berkata, Burma Human Right Network (BHRN) Myanmar baru-baru ini mendedahkan penemuan lima kubur berhampiran kampung Gu Dar Pyin di wilayah Arakan (Rakhine) yang menunjukkan berlakunya pembunuhan secara besar-besaran di wilayah itu.

“Adakah kita mahu melihat pelarian yang dihantar semula ini mengalami nasib sama sedangkan pembunuh masih hidup berleluasa tanpa sebarang tindakan dikenakan terhadap mereka.

“Lebih malang lagi apabila Pasukan Pemantau Khas dari PBB diketuai Yanghee Lee masih dihalang masuk dan tidak diberikan visa untuk menganalisis situasi yang berlaku di wilayah bergolak itu,” katanya.

Katanya, kubur yang ditemui adalah bukti kukuh menyatakan tentera Myanmar menyerang lelaki, wanita, orang tua dan kanak-kanak Rohingya yang tidak bersalah, malah jumlah pelarian Rohingya terkini menjadi kayu ukur yang jelas bahawa punca utama isu ini masih belum diselesaikan.

“Jadi, kegusaran ini sangat wajar dengan melihat sikap Myanmar yang masih tidak berubah dan pendirian mereka terhadap umat Islam Rohingya masih sama iaitu tidak mengiktiraf etnik berkenaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");