Jenayah

Kaki Azmee Melecet, Baju Kotor Ketika Ditemui

BATU PAHAT: Kakitangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Azmee Elias ditemui semalam dengan keadaan kakinya melecet dan kotor, selain baju serta seluar dalam keadaan lusuh dengan kesan tanah.

Kemunculan tiba-tiba Azmee, 36, yang ditemui tidak sedarkan diri di hadapan rumah lama neneknya di Kampung Bintang, Peserai, dekat sini, menggemparkan penduduk kampung berkenaan, apatah lagi rumah neneknya itu sudah lebih lima tahun tidak dihuni selepas warga emas itu meninggal dunia.

Memetik laporan BH Online, penduduk kampung yang enggan dikenali mendakwa, kelibat seorang lelaki yang disangka gelandangan dilihat terbaring di rumah pusaka itu kira-kira jam 3 petang semalam.

Katanya, bimbang dengan kehadiran lelaki itu membuatkannya memaklumkan waris rumah pusaka berkenaan yang tinggal kira-kira 50 meter dari situ.

“Kami terkejut apabila waris rumah pusaka berkenaan menyatakan lelaki yang terlentang tidak sedarkan diri di hadapan rumah pusaka itu adalah anak saudaranya yang sudah hampir dua minggu hilang di Kuala Lumpur.

“Keadaan Azmee ketika itu terlentang tidak sedarkan diri malah cubaan bapa dan ibu saudaranya memanggil namanya beberapa kali juga tidak berjawab sebelum mereka melaungkan azan kepadanya.

“Apabila dilihat lebih dekat, walaupun memakai selipar, kaki Azmee melecet dan kotor, baju serta seluar dipakainya dalam keadaan lusuh serta kotor bertanah.

“Melihat keadaannya yang amat lemah menyebabkan keluarganya segera menghantarnya ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI),” katanya ketika ditemui di Kampung Bintang, hari ini.

Azmee, 36, yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Mahkamah Syariah Jalan Duta Kuala Lumpur, dilaporkan hilang sejak 12 Februari lalu, ditemui dalam keadaan terlentang tidak sedarkan diri di hadapan rumah neneknya di Kampung Bintang, Peserai dekat sini, jam 4 petang semalam.

Dia ditemui oleh bapa saudaranya, kira-kira 236 kilometer (km) dari lokasi terakhir beliau dilihat di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada 12 Februari lalu dengan memakai baju berwarna gelap dan berseluar kelabu, selain berkaca mata.

Difahamkan Azmee dibesarkan Allahyarham neneknya dari usia bayi sehingga memasuki universiti awam (UA) dan lokasinya ditemui adalah rumah tempatnya membesar dahulu.

Azmee yang kini masih dirawat di HSNI dilaporkan berada dalam keadaan stabil termasuk sudah boleh menjamah makanan.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang juga enggan dikenali memaklumkan, mereka juga bingung bagaimana Azmee boleh berada di rumah berkenaan selepas dilaporkan hilang di ibu negara.

“Kami terkejut sebaik dimaklumkan dia ditemui di Kampung Bintang di Batu Pahat kerana tidak menyangka atau terlintas langsung di fikiran dia akan muncul di sini.

“Namun kami bersyukur dan mengharapkan dia sihat seperti sedia kala dan biarlah pihak berkuasa menyiasat kes ini terlebih dahulu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");