Berita Hari Ini

KBS Bentang Aspirasi TN50 Kepada PM

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan membentangkan laporan aspirasi belia berkaitan Transformasi Nasional 2050 (TN50) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 28 Februari ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, laporan yang melibatkan pelbagai aspirasi dan cadangan polisi itu akan dibentangkan dalam satu rancangan secara langsung.

“Macam-macam (aspirasi belia yang berjaya dikumpulkan). Daripada ekonomi, pendidikan, latihan, alam sekitar, kesenian, sukan, pemeliharaan hutan simpan.

“Laporan ini akan kita bentangkan pada 28 Februari dan saya akan bentangkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam satu rancangan secara langsung,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir ke Majlis Perasmian Kongres Duta Jauhar 4.0 di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada Ahad lapor Sinar Harian.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Khairy memberitahu beliau sudah mendampingi lebih 1.7 juta belia di seluruh negara dengan 62,000 aspirasi belia telah berjaya dikumpulkan.

Mengulas mengenai penganjuran Kongres Duta Jauhar 4.0, beliau mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin susulan pelaksanaan inisiatif itu.

Katanya, beliau melihat pendekatan Duta Jauhar yang mempromosikan keusahawanan sosial, sebagai selari dengan pendekatan dan juga objektif TN50.

“Kita mahu supaya belia dan anak muda Malaysia dapat menyumbang bukan hanya untuk memajukan ekonomi masing-masing, tetapi juga membawa perubahan sosial melalui perniagaan, keusahawanan, kesukarelawan dan sebagainya.

“Konsep keusahawanan sosial ini baru, tetapi melalui pendekatan seperti mana yang diambil oleh Duta Jauhar, kita dapat mempromosikan konsep keusahawanan sosial ini di kalangan anak muda agar mereka tidak hanya melihat kemajuan itu melalui pendekatan kapitalis sahaja, tetapi sambil mendapat keuntungan perniagaan, mereka juga dapat mengubah secara positif masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan Yayasan Pelajaran Johor bukan sahaja dari segi bantuan pembiayaan, malah mengenai penganugerahan kepada belia terlibat.

“Kita juga akan menggunakan Duta Jauhar ini sebagai ikon di peringkat kebangsaan untuk membantu kita mempromosikan keusahawanan sosial di kalangan belia,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");