Jenayah

Kertas Siasatan Namewee Dibuka: KPN

KUALA LUMPUR: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung tindakan pengarah dan pemuzik kontroversi, Namewee yang memuat naik klip video terbarunya bertajuk ‘Like A Dog, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhamad Fuzi Harun, berkata polis kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung siasatan itu.

“Kami sudah membuka kertas siasatan dan bekerjasama dengan SKMM berhubung kes itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kembara Bermotosikal Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) sempena Hari Polis ke 211, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini.

Minggu lalu, Namewee memuat naik klip video terbarunya sempena Tahun Baharu Cina bertajuk ‘Like A Dog’ yang memaparkan individu memakai topeng anjing dengan tarian lucah berlatar belakangkan bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata klip Namewee itu disifatkan menghina rakyat Malaysia terutama orang Melayu beragama Islam di negara ini.

“Sempena tahun anjing ini, saya ingin menasihatkan Namewee, jangan ikut perangai anjing jalanan untuk menarik perhatian, jadilah anjing yang diajar boleh menyalak apabila tuannya diganggu.

“Banyak anjing gila sudah ditangkap, kenapa pula kita beri peluang kepada anjing seperti Namewee ini pula terlepas. Saya merayu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap Namewee secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Razlan berkata, ramai yang mengikuti karya Namewee tahu bagaimana perasaan dan kebencian penyanyi itu terhadap Malaysia dan orang Melayu beragama Islam di negara ini.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");