SHAH ALAM – Ketua Parlimen DAP berang apabila program Pakatan Harapan (Harapan) yang sepatutnya berlangsung di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, tidak diadakan kerana diganggu pihak tertentu.
Lim Kit Siang berkata, insiden itu seharusnya tidak berlaku memandangkan negara telah merdeka selama 61 tahun, dengan amalan demokrasi dalam kalangan parti politik sepatutnya sudah matang.
“Melihat kepada situasi ini, saya melihat pengamalan demokrasi di negara ini masih jauh ketinggalan berbanding negara Asia lain seperti Jepun, India, Korea Selatan dan beberapa negara lain lagi.
“Jadi saya tidak boleh bayangkan sekiranya Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad menjadi dalang dalam satu perbuatan yang tidak melambangkan semangat demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kit Siang berkata, beliau secara peribadi mengenali Shahrir, sebagai seorang ahli Umno yang sentiasa mempraktikkan amalan demokrasi berparlimen negara ini, namun beliau amat terkejut sekiranya pemimpin itu berbuat demikian.
Sementara itu, beliau mendakwa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi individu yang paling banyak menyebarkan berita palsu, di sebalik dakwaannya menyatakan pihak pembangkang yang menyebarkan berita berbentuk itu.
“Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyatakan bahawa Najib adalah seorang budiman.
“Sekiranya benar, mengapa Najib masih lagi menyampaikan maklumat dan berita palsu, dengan mendakwa DAP adalah parti politik anti Islam dan Melayu.
“Jadi sekiranya perkara ini tidak betul, adakah Najib akan didakwa ketika masih menjadi Perdana Menteri kerana menyebarkan palsu?,” soalnya.-Sinar