Berita Hari Ini

KWSP Terbakar: Dividen, Dokumen Tidak Terjejas

KUALA LUMPUR: Para pencarum dan majikan dinasihatkan supaya tidak bimbang mengenai dividen, pengeluaran wang dan data simpanan susulan kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berpunca daripada percikan api, di Petaling Jaya kira-kira jam 11.52 pagi tadi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish dalam sidang media hari ini memberi jaminan bahawa intergriti maklumat dan data simpanan pekerja adalah tidak terjejas.

“Maklumat-maklumat melibatkan ahli dan majikan di dalam pengkalan data mempunyai sistem ‘back-up’ dan dokumen-dokumen termasuk permohonan pengeluaran wang dan dividen adalah selamat.

“Kami masih menunggu analisis daripada jabatan bomba berhubung bahagian bangunan yang terbakar, namun dapat dipastikan bahawa data dan informasi ahli serta majikan adalah selamat,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Susulan kebakaran tersebut, Mohd Naim menjelaskan operasi urus niaga di pejabat KWSP Petaling Jaya ditutup sementara waktu sehingga ia dimaklumkan kelak.

“Belum pasti sejauh mana bangunan ini boleh diduduki, tetapi kita akan menempatkan kira-kira 700 kakitangan di pejabat-pejabat cawangan berdekatan untuk meneruskan tugas mereka.

“Para pencarum dan majikan  yang mahu berurusan dengan KWSP boleh menghubungi atau mengunjungi cawangan KWSP terdekat,” katanya.

Sementara itu, pihak bomba dalam sidang media berasingan mengesahkan hanya bahagian luar bangunan di tingkat empat dan enam sahaja yang mengalami kebakaran, dan tiada dokumen penting musnah dalam kejadian tersebut.

“Keadaan cuaca yang panas dan berangin serta penggunaan bahan mudah terbakar telah menyebabkan api merebak dengan cepat di luar bangunan.

“Hasil pemeriksaan setakat ini, tiada kebakaran di dalam isi bangunan kecuali di tingkat enam, namun hanya melibatkan dokumen tidak penting,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Soiman Jahid.

Jelasnya, lapisan pelindung atau ‘cladding’ yang mudah terbakar telah dikesan dipasang di bahagian luar bangunan KWSP yang menyebabkan api merebak dengan cepat.-MD

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");