Jenayah

Lelaki Pukau Suami Isteri Ditahan

KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki Isnin lalu, selepas dikatakan memukau sepasang suami isteri di sebuah kedai makan di Wakaf Che Yeh, di sini, Ahad lalu.

Berikutan itu, pasangan suami isteri berkenaan kerugian sejumlah wang tunai yang dikeluarkan dari sebuah mesin wang automatik di stesen minyak berhampiran.

Suspek yang berusia 37 tahun juga dikatakan mencabul kehormatan isteri mangsa di dalam bilik kedai makan itu, kononnya untuk perubatan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata suspek sebelum itu memasuki kedai makan yang diusahakan mangsa untuk ke tandas, kira-kira jam 8 malam.

Katanya, sebaik keluar dari tandas beberapa minit kemudian, lelaki itu terus meminta wang tunai sebanyak RM420 daripada mangsa.

Bagaimanapun, katanya, peniaga terbabit memberitahu tiada wang dan suspek mengarahkannya mengeluarkan wang di ATM berkenaan.

“Peniaga berusia 48 tahun itu kemudian mengikuti arahan lelaki itu dan menyerahkan wang berkenaan kepada lelaki terbabit.

“Sejurus kemudian lelaki itu secara tiba-tiba mengajak isteri peniaga terbabit yang berusia 42 tahun masuk ke dalam bilik dengan alasan untuk perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini lapor Sinar Harian.

Ismail berkata, lelaki itu kemudian meminta peniaga terbabit supaya menghantarnya ke stesen bas di bandar ini.

Katanya, sebaik sampai di rumah, isterinya memberitahu bahawa suspek membuka pakaian dan mencabulnya.

“Keesokannya (kelmarin), pasangan suami isteri terbabit ke Kota Bharu dan menemui serta menahan lelaki itu di sebuah masjid di sini, sebelum menyerahkannya kepada polis, pada jam 11.15 malam.

“Pasangan suami isteri itu mendakwa seperti dipukau kerana mengikut segala arahan lelaki terbabit,” katanya.

Ismail berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 dan 354 Kanun Keseksaan.

Katanya, ujian saringan terhadap suspek didapati negatif dadah dan siasatan lanjut masih dilakukan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");