IPOH: Sebanyak 15 Lembaga Pelawat Hospital serta 79 Panel Penasihat Klinik Kesihatan seluruh Negeri Perak, malam tadi, menerima bantuan kewangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kesemua Lembaga Pelawat Hospital menerima sumbangan bernilai RM10,000 manakala RM5,000 bagi Panel Penasihat Klinik Kesihatan.
Ia disampaikan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya dalam satu Majlis Ramah Mesra beliau bersama Ahli-Ahli Lembaga Pelawat Hospital serta para Panel Penasihat Klinik Kesihatan Negeri di Hotel Kinta Riverfront, dekat sini, pada Rabu.
Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Hassan Merican.
Hilmi, yang ditemui media selepas penyempurnaan majlis berkata kesemua bantuan kewangan tersebut akan disalurkan secara terus kepada para penerima melalui bank masing-masing.
“Tujuan (bantuan kewangan ini adalah) untuk mereka gunakan ia sebagai inisiatif menggerakkan aktiviti hospital mahupun klinik bersama-sama masyarakat.
“Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan sumber bantuan ataupun tajaan kewangan daripada mana-mana pihak lain,” katanya.
Ujarnya, sehingga kini Perak mempunyai 284 keahlian Lembaga Pelawat Hospital manakala, 1,503 keahlian bagi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Negeri.
Pada perkembangan sama, ketika berucap merasmikan majlis berkenaan, beliau berkata, selain daripada Kementerian Pendidikan, kerajaan persekutuan, melalui dasar-dasarnya juga, sentiasa memberi penekanan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, demi kesejahteraan rakyat.