Jenayah

Lima Pesakit Terima Rawatan Selepas Minum Sejenis Kopi

GEORGETOWN – Lima individu termasuk dua wanita telah mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami gejala letih dan lemah yang teruk dipercayai selepas meminum sejenis kopi sejak Ahad hingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang Dr. Wan Mansor Hamzah berkata semua mereka berusia 19 hingga 62 tahun itu ditahan di wad untuk pemerhatian dan beberapa ujian, namun tiga daripada mereka dibenarkan keluar dari wad selepas keadaan mereka bertambah baik.

Ketika ini hanya dua pesakit iaitu dua lelaki berusia 19 dan 45 tahun masih ditahan di wad di HPP untuk rawatan serta pemerhatian.

“Dua lelaki itu dilaporkan dalam keadaan stabil dan setakat ini juga tiada kematian serta kes baharu yang dilaporkan membabitkan mangsa yang mengalami gejala letih dan lemah selepas minum kopi tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata ujian ke atas semua pesakit dan sampel kopi berkenaan masih dijalankan serta pihaknya akan mengumumkan hasil ujian tersebut selepas mendapat keputusannya.

Semalam, Bernama melaporkan dua lelaki mengalami simptom letih dan lemah yang teruk sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di HPP dipercayai selepas minum sejenis kopi dan keadaan mereka dalam keadaan stabil.

Berikutan itu, pihak JKN Pulau Pinang menjalankan beberapa ujian termasuk ujian darah serta mendapatkan sampel kopi berkenaan mengenal pasti punca sebenar mangsa mengalami gejala berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A.Thaiveegan berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu daripada mangsa atau pihak hospital. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");