Berita Hari Ini

Mahkamah Syariah Perlu Setaraf Mahkamah Sivil: Harussani

IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mencadangkan kerajaan negeri dapat membuat pindaan dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah di dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri.

Beliau berkata, pindaan itu akan menaik taraf Mahkamah Syariah supaya setaraf Mahkamah Sivil.

“Peruntukan Mahkamah Syariah perlu diluaskan supaya dapat memberi ruang kepada orang bukan Islam hadir ketika perbicaraan dan tidak hanya terhad kepada orang Islam saja.

“Mahkamah Syariah juga tidak sepatutnya dianggap sebagai satu entiti berada di luar institusi kehakiman, sekali gus meletakkannya pada kedudukan yang lebih rendah,” katanya menerusi laporan BH Online, hari ini.

Harussani merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan Isnin lalu yang mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan dengan memutuskan penukaran agama tiga anak guru Tadika, M Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Katanya, beliau juga secara peribadi kecewa dan tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan dan menganggap ia satu pencabulan terhadap ketinggian agama Islam.

“Lebih menyedihkan majoriti panel hakim yang membicarakan kes ini adalah beragama Islam. Dari kaca mata Islam, apabila ibu bapa atau seorang daripada mereka memeluk Islam, anak mereka juga dikira sebagai memeluk Islam.

“Jumhur ulama berpandangan anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam itu ibu atau bapa dan pandangan ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW.

“Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya dan kaedah fekah sudah menetapkan bermaksud: ‘si kecil akan mengikut salah seorang ibu bapa yang terbaik dari sudut agama’ dan ini bermakna, seorang anak akan menjadi Islam apabila ibu atau bapanya memeluk Islam kerana Islam adalah agama terbaik dan tidak ada yang lebih baik serta mulia daripadanya,” katanya.

Harussani berkata, kes diputuskan lima panel hakim berkenaan sebulat suara membenarkan rayuan pembatalan dan memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan Pendaftar Muallaf.

Katanya, beliau hairan kerana Mahkamah Persekutuan pada kali ini menggunakan takrifan ibu bapa secara majmuk dalam kes berkenaan.

“Sedangkan dalam kes lain seumpama ini iaitu kes R Subashini melawan T Saravanan pada tahun 2007, mahkamah sama membuat keputusan bahawa ‘salah seorang ibu atau bapa’ boleh membuat keputusan menentukan agama anak, tanpa perlu persetujuan pasangan.

“Malah keputusan mahkamah rayuan ini yang merugikan agama dan umat Islam juga boleh disifatkan sebagai tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

“Ini kerana dalam Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan Islam adalah agama Persekutuan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");