Berita Hari Ini

Masa Depan TN50 Di Tangan Anak Muda

KUALA LUMPUR: Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diaspirasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak tahun lalu bermula dengan segmen belia kini menjadi gerakan massa.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, hampir dua juta rakyat didekati melalui pelbagai platform dengan lebih 60,000 aspirasi melalui dialog, perbincangan kecil dan kumpulan fokus serta media sosial.

“Persoalan yang dilontarkan cukup mudah, apakah aspirasi anda untuk Malaysia pada 2050?

“Satu demi satu aspirasi disuarakan akhirnya membina sebuah Kanvas Belia sebagai dokumen impian anak muda untuk TN50.

“Namun angka-angka ini sahaja tidak memadai untuk menggambarkan semangat yang ditunjukkan oleh belia untuk membina masa depan negara,” katanya menerusi laporan Malaysia Gazette hari ini.

Khairy Jamaluddin berkata, ribuan anak muda menzahirkan cita-cita tahun 2050 mereka baik daripada aspek pendidikan berkualiti kepada identiti kebangsaan dan pembangunan yang saksama, baik di bandar mahu pun di luar bandar.

“Mereka yang hadir ke sesi-sesi perbincangan kecil juga berdebat dengan fakta secara berhemah, mencerminkan rakyat muda Malaysia beraspirasi untuk menjadi masyarakat dengan mentaliti kelas pertama.

“Melalui media sosial, ramai daripada mereka memberi sumbangan idea dan aspirasi untuk masa depan kita semua, tanpa menghiraukan budaya negatif dan bashing yang mendominasi garis masa kita kebelakangan ini,” katanya yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Katanya, beliau berkesempatan menemui Ganesh Muren dan Nadhirah Rifai yang menggunakan masa muda mereka untuk membantu anak muda di luar bandar mempunyai akses kepada teknologi dan persekitaran lebih baik.

“Firdaus Ali baru berusia 17 tahun dan masih belajar, datang jauh dari jauh untuk memastikan generasi belia dipelihara, dia cukup bersungguh-sunguh ingin memastikan TN50 mengambil kira kemahiran insaniah serta digital terkini demi menjamin pekerjaan di masa hadapan.

“June Yap, Faisal Ariff dan Dzameer Dzulkifli kini menjadi perintis kepada industri penjagaan awal kanak-kanak, sistem imigresen baru dan pendidikan.

“Ini hanyalah beberapa contoh anak muda Malaysia yang memilih untuk melakukan sesuatu positif untuk Malaysia dan ramai lagi anak muda dengan semangat sebegini saya temui semasa proses TN50 ini,” katanya yang akan membentangkan kertas kerja TN50 kepada Perdana Menteri hari ini.

Kata Khairy Jamaluddin lagi, generasi muda itu menafikan persepsi masyarakat di mana anak muda hanya pandai mengkritik dan mementingkan diri sendiri sahaja sebaliknya terbukti mereka bersedia melakukan perubahan.

“Itulah pengakhiran perjalanan TN50 saya secara peribadi, setahun penuh bermakna dan semuanya kerana semangat dan kesungguhan yang ditonjolkan oleh anak muda Malaysia, dalam menyatakan aspirasi mereka, saya lihat dan dengar sendiri.

“Anak muda Malaysia akan menyerahkan aspirasi TN50 kolektif mereka malam ini sekaligus melambangkan permulaan sebuah perjalanan baharu yang cukup menarik untuk kita semua,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");