Isu Panas

Masa Untuk Buat Kerja – Isa Samad

BAHAU: “Bukan saya yang tentukan,” kata Ahli Parlimen Jempol, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengenai peluangnya untuk bertanding lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu berkata, perkara penting untuk dilakukan ketika ini adalah meneruskan tugas sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian UMNO seperti biasa.

“Sekarang saya buat kerja saja, siapkan jentera parti (untuk menghadapi PRU-14). Setiap hari saya ada program di Port Dickson dan Jempol,” katanya selepas majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Warga Yang Memerlukan Sempena Tahun Baru Cina 2018 di Dewan Orang Ramai Kampung Indah di sini, hari ini.

Mohd Isa juga enggan mengulas apabila ditanya jika pucuk pimpinan mahukan beliau terus bertanding pada PRU-14 akan datang.

“Itu tiada komen. Mengenai calon saya tiada komen,” katanya.

Mengenai ura-ura akan ada pertukaran kerusi daripada MIC kepada UMNO di Parlimen Teluk Kemang pada PRU-14, beliau berkata tidak tahu mengenai perkara itu.

“Saya tidak tahu. Itu bukan kerja saya, kerja saya hanya ‘bersyarah’ (berceramah) saja,” katanya.

Difahamkan, terdapat desakan dalam kalangan pemimpin akar umbi yang mahu UMNO diberi peluang bertanding di kerusi kuota MIC itu dalam usaha merampas kembali kawasan yang jatuh ke tangan pembangkang pada PRU-12 dan PRU-13.

Sementara itu, apabila diminta mengulas mengenai laporan audit forensik projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), beliau hanya mengangkat tangan sebagai tanda enggan memberi sebarang komen.

Laporan audit forensik itu menyenaraikan secara kolektif Ahli Lembaga Pengarah FELDA dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) ketika transaksi tanah milik FELDA di Jalan Semarak berlaku sejak 2014, untuk diambil tindakan tata tertib dan undang-undang.

Mohd Isa adalah Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017, Pengerusi FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun tahun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

Kontroversi membabitkan tanah FELDA tercetus selepas BH dalam laporan muka depannya pada 21 Disember tahun lalu mendedahkan mengenai pindah milik tanah agensi itu di Jalan Semarak diragui.

Ia dipercayai berlaku apabila FIC melantik Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");