Jenayah

Menyamar Anggota Polis: Simpanan Pesara Lesap

KUALA TERENGGANU – Seorang pesara terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM90,000 selepas terlalu mudah terpedaya dengan panggilan daripada sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai anggota polis.

Menurut sumber, kejadian bermula selepas mangsa, 69, yang berada di rumahnya di Kampung Kuala Bekah, di sini, menerima panggilan daripada individu tidak dikenali, kira-kira jam 12.30 tengahari, pada 31 Januari lalu.

“Individu itu memperkenalkan diri sebagai Pegawai Kanan Polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang sebelum memaklumkan mangsa dipercayai bekerjasama dengan seorang lagi suspek berbangsa Cina menjalankan jenayah pengubahsuaian wang haram berjumlah RM200,000.

“Seterusnya individu kononnya berpangkat Asisten Komisioner itu meminta nombor akaun beserta kata laluan milik mangsa dengan alasan untuk menyemak sama ada wang haram tersebut masih ada atau tidak,” katanya.

Sumber berkata, disebabkan terlalu terkejut dan takut dengan maklumat disampaikan itu, mangsa tanpa berfikir panjang memberitahu semua butiran diminta.

Jelas sumber, dalam masa sama, mangsa turut diingatkan agar tidak memaklumkan kepada sesiapa lagi berkenaan perkara itu kerana dibimbangi akan mengganggu siasatan.

“Pada keesokan harinya iaitu pada 1 Februari lalu, mangsa ada menerima mesej daripada pihak bank memaklumkan ada membuat transaksi sebanyak RM30,000 ke sebuah akaun tidak dikenali.

“Seterusnya pada 2 Februari pula mangsa menerima sekali lagi mesej daripada bank sama memberitahu ada membuat dua kali transaksi lagi kedalam akaun bank sama,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Jelas sumber lagi, terkejut menerima mesej pemberitahuan itu, mangsa terus membuat pemeriksaan ke atas baki akaun banknya sebelum diberitahu wang simpanannya berjumlah RM90,000 sudah tiada.

Tidak berpuas hati selepas yakin dirinya sudah ditipu, mangsa terus membuat laporan polis pada Ahad lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Jelasnya kes berkenaan kini sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");