Membawang Hari Ini

Misha Ubat Rindu Peminat Dengan Lagu Baharu

KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama tanpa sebarang single solo, Misha Omar kini boleh menarik nafas lega apabila lagu terbarunya, Sampai Bila, dijangka menemui peminat dalam masa terdekat.

Lagu berkenaan adalah hasil ciptaan komposer terkenal, Sharon Paul, manakala liriknya pula ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya dan Shah Shamshiri.

“Saya sememangnya berbesar hati dan teruja apabila dapat kembali memeriahkan dunia muzik bersama single solo terbaru.

“Maklum balas daripada peminat juga nampaknya begitu memberangsangkan. Saya tidak menyangka mereka benar-benar serius apabila menyatakan kerinduan masing-masing terhadap saya,” kata ibu kepada Muhammad Idris Ezzwa itu.

Bukan sekadar menghasilkan lagu baharu, malah Misha juga dipilih sebagai mentor dalam program Mentor Otai yang akan menemui penonton TV3 pada bulan depan, selain sibuk dengan tugas mengacarakan program pertandingan Bintang RTM 2018, bersama Aqasha.

Penyanyi yang mula meledak dengan lagu Bunga Bunga Cinta pada 2002 ini mengaku dirinya semakin serasi dengan pelakon lelaki yang juga seorang penyanyi itu.

“Bercakap soal keserasian, dalam apa juga perkara pun, ia tetap akan mengambil masa. Namun, kami berdua juga sudah memberikan komitmen terbaik dan berusaha sedaya mungkin bagi menghidupkan rancangan terbabit.

“Pada episod pertama dulu, biasalah pastinya ada canggung di sana-sini. Pada episod seterusnya, masing-masing sudah mula faham rentak. Baik saya mahupun Aqasha, kami berusaha memperbaiki kelemahan untuk meningkatkan prestasi. Insya-Allah, lama-lama ia pasti kita akan jadi sempurna,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Ditanya mengenai prestasi peserta pertandingan yang pernah mengangkat bakat besar dalam dunia seni seperti Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ramlah Ram, Azharina Azhar dan ramai lagi itu, Misha percaya masing-masing mempunyai peluang untuk menyerlah.

“Mereka ada gaya dan tona suara tersendiri. Tunggu nak gilap saja. Secara peribadi, Saya sendiri melihat peserta kali ini mempunyai semangat dan kesungguhan untuk menang,” katanya yang kini mula aktif bersenam di gimnasium bersama jurulatih peribadi sebagai persediaan untuk kembali menyemarakkan pentas seni.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");