Sukan Hari Ini

Nafi Ada Konflik Dengan TMJ

PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menafikan wujud perbalahan antara badan itu dengan pengerusinya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan perbezaan pendirian berhubung isu dokumentasi dan pendaftaran pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam menegaskan sekretariat FMLLP menyokong penuh kepemimpinan Tunku Ismail dan menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan beliau lebih bersifat untuk menyatakan kekecewaan yang wujud hasil persepsi sesetengah pihak yang sentiasa menuding jari kepadanya setiap kali wujud situasi di mana sesuatu hukuman bakal dilakukan.

“Kekecewaan ini adalah yang sebenar kerana Tunku Ismail bekerja keras untuk memastikan liga dan setiap pasukan terjamin untuk jangka masa panjang.

“Pelaburan yang berjaya diperolehi menjadi sesuatu menguntungkan untuk kesemua pasukan dan secara realiti harapan semua pihak yang melabur di dalam Liga Malaysia mahu melihat kemajuan dari segi profesionalisme.

“Saya pasti Tunku Ismail tidak berniat untuk menidakkan peraturan dan mahu peraturan ditegaskan tetapi beliau berlaku sarkastik dalam membuat kenyataan kerana hampa dengan pandangan sesetengah pihak yang berminda kecil ini,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini, sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Pada masa sama, Kevin turut mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang disifatkan cuba menghalang kemajuan bola sepak di negara ini dengan melontarkan beberapa kenyataan yang dilihat tidak bernas.

“Bola sepak Malaysia sudah berada di landasan yang betul apabila pelaburan sudah mula masuk dengan nilai yang lumayan.

“Tetapi adakah pihak-pihak ini tahu yang mereka ini sedang menghalang kemajuan dengan mengeluarkan kenyataan bijak pandai mereka yang serba tahu bukan sahaja mengenai pengurusan Persatuan Bola Sepak (FA) dan liga malah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan juga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) juga,” katanya.

Terdahulu, Tunku Ismail tidak bersetuju andai badan pentadbir liga itu ingin mengambil tindakan memotong mata kepada pasukan yang tidak melengkapkan dokumen pendaftaran untuk bertanding dalam Liga-M musim ini.

Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata, tindakan tegas FMLLP itu hanya akan mengundang spekulasi buruk beliau atau JDT mahu mengkhianati pasukan lain.

“Bagaimanapun saya tidak bersetuju dengan tindakan itu kerana ia akan mewujudkan spekulasi daripada mereka yang kurang bijak dan mengatakan saya atau Kelab JDT ingin mensabotaj pasukan lain yang sedang berada di puncak liga kononnya,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, semalam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");