Isu Panas

Najib Pemimpin Transformatif, Multikulturalis – Salleh

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dapat menikmati kemakmuran ekonomi dan kebebasan bersuara kerana kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersifat transformatif dan multikulturalis.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ciri-ciri kepimpinan itu yang bebas perkauman, bersifat demokratik dan berpaksikan rakyat, menjadikan Najib mampu melakukan banyak perubahan dan kekal menjadi perdana menteri sehingga sekarang.

“Hasilnya, rakyat Malaysia hari ini bukan sahaja mengecapi kemakmuran ekonomi, tetapi juga menikmati kebebasan bersuara. Tiada tahanan dikenakan terhadap rakyat yang mengkritik beliau dan isterinya, menteri-menteri kabinetnya, dan partinya di media sosial serta di demonstrasi jalanan.

“Malah, tiada juga tangkapan seperti Operasi Lalang ke atas pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil yang tanpa henti mengkritik, menyebar fitnah dan menularkan berita palsu terhadap pemerintahan beliau,” katanya menerusi blognya sskeruak.blogspot.my, hari ini lapor Bernama.

Salleh berkata Najib telah berjaya menjadikan Malaysia demokratik, menegakkan kedaulatan rakyat, mengagihkan peluang ekonomi secara saksama, mewujudkan pentadbiran yang berkebajikan, dan melaksanakan pemerintahan Islam yang moderat.

“Memandang ke depan, sewajarnya kita bersyukur kerana dipimpin oleh Najib Razak,” katanya.

Salleh berkata sejarah menunjukkan ramai pemimpin dunia yang kecundang ketika sedang melakukan perubahan.

“(Bekas pemimpin Soviet Mikhail) Gorbachev gagal apabila memperkenalkan Glasnost dan Perestroika, (bekas Presiden Indonesia B.J) Habibie ditolak oleh partinya apabila mereformasikan birokrasi dan tenteranya, malah (bekas Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhajat membawa pembaharuan dalam kerajaan Barisan Nasional telah dipecat dan dipenjara oleh mentor politiknya sendiri,” katanya.

Beliau berkata ini menunjukkan menjadi pemimpin transformatif tidak mudah, apatah lagi perubahan yang dibawa itu adalah di negara yang majmuk masyarakatnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");