Perak Hari Ini

Pemasangan Lampu Isyarat Bukan ‘Gimik’ PRU

TANJUNG MALIM: Penduduk yang tinggal di Taman Wangsa Jaya, Taman Wangsa Utama, Taman Intan Setia dan sekitarnya kini boleh menarik nafas lega apabila dua lampu isyarat bakal dipasang pada jalan utama di sini dalam masa terdekat.

Pada masa sama, ia juga bakal memberi kemudahan dan keselesaan pengguna jalan raya daripada Slim River ke Tanjung Malim.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata perkara ini merupakan hasil daripada program Pemukiman Menteri Besar yang diadakan di kawasan berkenaan tahun lalu.

Jelasnya, hasil usahasama antara pegawai dan jurutera daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, Ahli Parlimen Tanjung Malim merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akhirnya, JKR peringkat Persekutuan bersetuju meluluskan peruntukan sejumlah RM500,000 untuk lampu isyarat tersebut.

“Kita akan mula kerja-kerja pemasangan bermula pada 26 Februari ini dan mungkin akan siap dalam tempoh tiga minggu. Atau paling lewat dalam tempoh sebulan,” katanya.

Selain itu beliau berkata, satu lagi lampu isyarat juga akan dipasang pada Jalan Simpang Empat di Taman Bernam dengan kos peruntukan sebanyak RM500,000.

“Kita telah berbincang dengan semua pihak termasuk jurutera daerah kita dan kementerian kini sedang menunggu keputusan daripada jurutera daerah tersebut.

“Kita harap ia dapat disegerakan kerana di situ kerap berlaku kemalangan jalan raya dan ada yang sehingga meragut nyawa,” ujarnya kepada media dalam satu lawatan kerjanya di sini, pada Khamis.

Pada masa sama katanya, hal ini telah lama diusahakan pihaknya dan ianya bukan kerana sebagai ‘gimik’ Pilihanraya Umum (PRU) seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Masalah ini telah kita usahakan semenjak dua ke tiga tahun lagi. Cuma disebabkan beberapa kekangan itu yang melambatkan proses kita.

“Kalau hendak fikirkan PRU, kita tidak akan buat permohonan pada masa sebelum ini.

“Seperti yang saya katakan bahawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak membina harapan sebaliknya kita bekerja membina masa depan,” tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");