Isu Panas

Pembangkang Mulakan Berita Palsu Untuk Raih Undi – Syed Ali

KUALA LUMPUR: Penularan berita palsu termasuk fitnah dimulakan oleh pembangkang untuk meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, pembangkang dilihat semakin ketandusan isu relevan untuk meraih sokongan sekali gus menggunakan berita palsu selain fitnah yang memburukkan imej pemimpin UMNO.

“Politik di Malaysia telah dicemari dengan gejala fitnah dan pembohongan fakta secara terancang dilakukan pembangkang.

“Mereka (pembangkang) yang memainkan cerita bohong dan palsu supaya rakyat menolak UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN),” tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya lapor Astro Awani.

Beliau mendakwa, pembangkang tidak akan ‘hidup’ jika tidak bermain dengan cerita fitnah dan pembohongan.

“Oleh sebab itu, pembangkang secara terbuka menolak cadangan kerajaan untuk mewujudkan satu undang-undang baru bagi mengekang berita fitnah di negara ini.

“Bagaimanapun, rakyat negara ini tidak selamanya bodoh untuk menelan segala cerita bohong pembangkang,” katanya.

Menurut Syed Ali, penyebaran berita fitnah memuncak apabila aplikasi media sosial digunakan secara meluas terutama setiap kali menjelangnya pilihan raya umum (PRU).

“Selepas PRU13, berita-berita palsu dan serangan fitnah diperhebatkan oleh pembangkang sehingga mengelirukan masyarakat umum.

“Apa sahaja kebaikan dilakukan kerajaan sengaja diputarbelitkan dengan fakta pembohongan. Pembangkang memutarkan fakta yang dipalsukan untuk mengalih perhatian rakyat,” ujarnya.

Menjelang PRU14 tambah beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, pembangkang mula mempertingkatkan serangan fitnah terutama terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pembangkang mengunakan serangan fitnah terhadap Najib kerana mereka tidak ada cara lain lagi untuk menumbangkan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.

“Malah, kehidupan peribadi keluarga Perdana Menteri termasuk Datin Seri Rosmah Mansor dijadikan fokus utama untuk difitnahkan secara terancang.

“Pembangkang termasuk pihak berkepentingan mensasarkan Rosmah dengan pelbagai tuduhan tidak berasas selain penghinaan dan cacian keterlaluan,” tegasnya.

Syed Ali turut meramalkan, serangan fitnah dan cerita pembohongan akan menjadi bertambah hebat apabila PRU14 semakin hampir.

“Pembangkang akan menyebarkan pelbagai maklumat palsu, memfitnahkan salah laku pemimpin dan mengaktifkan berita-berita tidak berasas menerusi media sosial,” jelasnya.

Syed Ali juga menyentuh mengenai konflik terbaru Pakatan Harapan di Selangor yang masih berebut kerusi PRU dengan menyifatkannya sebagai gila jawatan.

“Sesama mereka masih tidak ada titik persamaan, masing-masing gilakan jawatan sebagai YB, inilah kerja pembangkang di Selangor,” ujarnya.

Dalam perkembangan mengenai penarikan balik pingat dan darjah kebesaran terhadap dua pemimpin AMANAH di Kelantan oleh pihak istana negeri itu, Syed Ali menjelaskan perkara tersebut merupakan hak sepenuhnya istana.

“Tak perlu kita campur, itu hak dan kuasa istana Sultan Kelantan, apa pun sebagai rakyat kita perlu hormati,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");