Perak Hari Ini

Pendekatan Lebih Tegas Dalam Aspek Kebersihan: Rusnah Kassim

IPOH: Kerajaan Perak tidak akan berkompromi lagi terhadap pihak-pihak yang tidak menitikberatkan aspek kebersihan dan membuang sampah sewenang-wenangnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim berkata kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai pendekatan sama ada dari segi kempen kesedaran mahupun penguatkuasaan undang-undang.

Namun katanya, ia sedikit pun tidak memberi kesan kepada segelintir masyarakat, malah golongan ini turut dengan berani membuang sampah di kawasan-kawasan yang tidak dibenarkan.

“Tidak ada istilah putus asa bagi kita, sebab itu saya katakan aspek kebersihan akan sentiasa jadi keutamaan bagi kerajaan negeri.

“Kita dah turun banyak kali, malah kempen pun dah buat tapi keadaan masih sama. Dan apa yang saya lihat, golongan yang kerap membuang sampah ini selalunya dikalangan intelektual,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bot Penumpang di Taman Rekreasi  Gunung Lang, disini, hari ini.

Justeru tambah Rusnah, satu gerakan besar-besaran akan dibuat bersama-sama dengan Exco Kesihatan, Datuk Dr Mah Hang Soon bagi memastikan negeri Perak lebih bersih dan ceria.

Jelasnya, aspek kebersihan sememangnya berkait rapat dengan kesihatan dan atas faktor itu gerakan yang dibuat diharap turut mendapat sokongan PBT seluruh Perak.

“Jadi selepas ini, saya akan bersama-sama dengan Datuk Mah untuk melaksanakan gerakan yang mementingkan kesihatan dan kebersihan.

“Kita nak fokus pada kedua-dua ini dan kerajaan negeri akan buat sesuatu untuk pastikan Ipoh bersih malah PBT di Perak juga perlu membantu mendidik masyarakat.

Rusnah menambah, sekiranya sikap masyarakat masih tidak berubah maka gerakan undang-undang yang lebih tegas akan diambil.

Katanya, setakat ini terdapat PBT yang telah mempunyai perisik yang bertujuan untuk menangkap golongan-golongan yang membuang sampah haram.

“Sekiranya ada lagi selepas ini, kita akan terus tangkap dan denda mereka,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");