Jenayah

Pesakit Mental ‘Bersiar-Siar’ Guna Ambulans

KUCHING: Seorang lelaki dipercayai pesakit mental sempat bersiar-siar di sekitar bandar raya ini dengan menggunakan ambulans yang ‘dilarikannya’ selama sejam sebelum berjaya ditahan berhampiran Wisma Saberkas, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu lelaki terbabit menyusup masuk ke dalam ambulans milik sebuah pusat perubatan swasta tanpa disedari ketika petugas menurunkan pesakit di Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini sebelum melarikan kenderaan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Abang Junaidi Abang Annuar ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan penemuan semula ambulans yang diletakkan di tepi jalan berhampiran sebuah pusat beli belah terkemuka di bandar raya ini.

“Dalam kejadian itu, suspek berusia 36 tahun itu bertindak ‘melarikan ambulans’ milik sebuah pusat perubatan swasta ketika petugas sibuk menurunkan pesakit yang mahu mendapatkan rawatan di HUS.

“Selepas sejam memburu suspek, pegawai dan anggota bertugas berjaya mengesan kedudukan ambulas berkenaan yang ditinggalkan di Jalan Green berhampiran Wisma Saberkas,” katanya menerusi laporan BH Online hari ini.

Abang Junaidi berkata, menyedari dirinya diburu polis, suspek bertindak keluar dari ambulans berkenaan sebelum melarikan diri ke dalam pusat beli belah berkenaan.

“Tindakan suspek mahu meloloskan diri gagal apabila berjaya ditahan di perkarangan HUS. Kita syaki suspek berlari untuk pulang semula ke HUS dari pusat beli belah itu selepas panik melihat kehadiran pegawai dan anggota polis,” katanya.

Katanya, suspek berasal dari Kampung Siol Kandis, Petra Jaya yang dipercayai mengalami masalah mental dimasukkan ke HUS, semalam untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk kehadiran suspek yang tidak disedari petugas sehingga berjaya menyusup masuk ke dalam ambulans berkenaan sebelum melarikan kenderaan terbabit,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");