Isu Panas

PM Tak Boleh Pegang Menteri Kewangan: Tun M

SHAH ALAM: “Perdana Menteri tidak seharusnya memegang jawatan sebagai menteri kewangan,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Memetik laporan Sinar Online, Bekas perdana menteri itu berkata, pada zaman pemerintahannya beliau turut memegang jawatan menteri kewangan kerana tiada calon yang sesuai untuk posisi itu.

“Ketika saya jadi perdana menteri dahulu, ada kalanya saya pegang jawatan menteri kewangan. Sebabnya kita sedang menunggu calon yang baik untuk jadi menteri kewangan.

“Apabila seorang menteri kewangan digugurkan atau tidak lagi berkhidmat, kita ambil masa untuk mencari calon yang baik dan baru. Dalam jangka masa itu saya biasanya ambil alih tugas menteri kewangan termasuk menyediakan bajet untuk setahun.

“Tetapi saya berpendapat lebih baik jika perdana menteri tidak pegang jawatan menteri kewangan,” katanya dalam siaran langsung ‘Policy Talk’ di Facebooknya, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata, perdana menteri dan timbalan perdana menteri perlu bersilih ganti menerajui Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.

“Kita tukar-tukar kerana dua kementerian ini penting untuk tentukan keselamatan dan keamanan negara,” katanya.

Katanya lagi, PH bercadang mengecilkan saiz Kabinet dan mengurangkan jumlah menteri jika gabungan itu menang PRU14.

“Ada kementerian mempunyai dua menteri dan saya fikir ini membazir. Kita ada struktur dalam kementerian di mana ada kerja-kerja yang perlu dilakukan pegawai yang lebih cekap.

“Pegawai akan bantu menteri, jadi kita tak perlu banyak menteri. Pakatan Harapan berhasrat nak kurangkan kepada 20 lebih saja menteri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");