Jenayah

Polis Giat Kesan Pemilik Akaun FB Fitnah Menteri

KUCHING: Polis sedang giat mengumpul maklumat bagi mengesan pemilik akaun di Facebook (FB) yang memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Amer Awal, berkata pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak sedang bekerjasama rapat Bukit Aman.

Setakat ini, katanya, tiada tangkapan dijalankan namun siasatan akan terus dijalankan.

“Polis memandang serius fitnah yang dilakukan individu terbabit kerana ini bukan pertama kali insiden sama berlaku ke atas Datuk Seri Nancy.

“Tiada sebarang kompromi ke atas mereka yang didapati melakukan kesalahan ini kerana ia mampu mengundang suasana tidak harmoni selain bertentangan dengan adab masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.

Polis kini menyiasat kes ini sebagai fitnah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Difahamkan, pemilik akaun di FB yang menggunakan nama Lie Willes menggunakan akaun palsu untuk memfitnah Nancy, minggu lalu.

Baru-baru ini, pemilik akaun di FB itu memuat naik kenyataan Nancy pada 2013 yang memfitnah Nancy akan menjadi pelacur jika tidak menjadi menteri.

Kenyataan berkenaan sudah beberapa kali dimuat naik di laman sosial dipercayai bermotifkan politik dan memfitnah Ahli Parlimen Batang Sadong.

Dalam perkembangan lain, Polis Sarawak sudah bersedia sepenuhnya menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Amer berkata, seramai 7,017 pegawai dan anggota akan ditugaskan di 31 Parlimen seluruh Sarawak bagi memastikan perjalanan kempen dan pengundian berjalan lancar.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");