Perak Hari Ini

PPBM Perak Didakwa Hanya Utamakan ‘Kroni’

BATU KURAU: Ahli-Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Larut mendakwa mereka seolah-olah tidak dipedulikan pimpinan peringkat negeri yang diterajui Ahmad Faizal Azumu.

Wakilnya, Baharum Mohd Radzi berkata, permasalahan terhadap isu saluran dana kepada peringkat akar umbi di sini yang tiada jawapan sehingga hari ini membuatkan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Faizal terhadap PPBM Negeri.

Ujarnya, PPBM Larut terpaksa mengeluarkan dana sendiri bagi menampung dana yang tidak mencukupi dalam menggerakan jentera mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah, Selama, Batu Kurau serta kawasan Parlimen Larut.

Jelasnya perkara itu sudah dibangkitkan sebulan yang lalu menerusi sebuah akhbar tempatan namun ianya tetap tiada sebarang tindakan.

“Beliau tidak pernah hadir ke Larut kecuali sekali sahaja iaitu pada ceramah Tun Dr Mahathir Mohamed dan Pakatan Harapan pada September 2017,” katanya yang mendakwa Faizal tidak mengambil peduli sebarang permasalahan akar umbi di sini.

Tambahnya lagi, pengerusi negeri itu juga didakwa telah memberi alasan-alasan yang kurang munasabah kepada mereka berhubung dengan isu ini.

Selain itu, Baharum berkata, Faizal didakwa juga sering mengutamakan ‘kroni’ dan kenalan rapatnya sahaja apabila bekerja dan jika ada pihak yang bukan dalam kalanganya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri itu didakwa akan ‘mencantas’ serta menidakkan kebolehannya, sebagaimana berlaku pada PPBM Larut.

“Dibawah kepimpinannya, hampir semua bahagian berpecah-belah sebagai contoh, AJK PPBM Parlimen Beruas berpecah, PPBM Kuala Kangsar masih tidak mempunyai ketua bahagian dan jawatankuasa serta kawasan Parlimen Bagan Datuk juga tiada jawatankuasa,” ujarnya kepada pemberita dalam satu sidang media di Kampung Repoh, dekat sini, pada Isnin.

Dalam pada itu beliau berkata dirinya bersedia menghadapi sebarang tindakan ke atasnya termasuk dipecat atau disingkirkan daripada parti.

“Sebenarnya banyak lagi perkara yang sedang kita teliti namun, ianya akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");