Isu Panas

PPBM Tak Boleh Tanding 12 Kerusi BN Selangor

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan dapat meletakkan calon di semua 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki Barisan Nasional (BN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Dr Xavier Jayakumar, berkata ketika ini, PH lebih memberi tumpuan kepada faktor kemenangan berbanding pengagihan kerusi mengikut parti.

Katanya, parti komponen PH boleh membuat permohonan meletakkan calon masing-masing di kerusi pilihan mereka, namun PH akan mengambil kira faktor kemenangan dalam menetapkan pengagihan kerusi itu.

“Menerusi perbincangan itu, PH akan mengekalkan kerusi yang dimenangi oleh parti komponen sebelum ini (status quo) dan hanya 25 kerusi akan kita bincang parti mana yang akan meletakkan calon.

“Semua 25 kerusi itu membabitkan kerusi yang kini disandang PAS dan BN,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantahan Syor Kedua Kajian Persempadanan Semula Selangor di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya negeri di sini, hari ini lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, Dr Xavier mengakui berlaku pertindihan kerusi ketika mesyuarat pengagihan kerusi yang berlangsung minggu lalu tetapi semua itu dapat diselesaikan hasil perbincangan bersama.

“Apa guna kita letakkan calon masing-masing tetapi tidak boleh menang. Kita berpegang kuat kepada apa yang dikatakan Pengerusi PH, (Tun Dr Mahathir Mohamad) iaitu letak calon yang boleh menang.

“Kita jangkakan pengagihan kerusi ini akan dapat diselesaikan hujung bulan ini,” katanya.

Khamis lalu, Ketua Penerangan PPBM negeri, Sallehuddin Amiruddin berkata, PPBM akan mempertahankan permohonan 12 kerusi milik BN untuk diletakkan calon mereka walaupun PKR turut berhasrat meletakan calon di semua kerusi terbabit.

Ketika ini, PKR menyandang 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP (13), PAS (13), BN (12) dan Parti Amanah Negara (2).

Dua DUN lagi adalah Bebas iaitu DUN Pelabuhan Klang dan Telok Datuk.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");