Sukan Hari Ini

Program Kita Juara Kekal: Ahmad Shapawi

PROGRAM Kita Juara yang dilancarkan sejak September 2015 bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2018 dikekalkan untuk sekurang-kurangnya sehingga Sukan SEA Filipina 2019.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata pihaknya bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah bersetuju untuk mengekalkan program berkenaan kerana ia meletakkan satu sasaran dan imej yang semua atlet akan tuju.

“Kita dan menteri (Khairy Jamaluddin) telah bersetuju untuk kekalkan program itu bagi menghadapi beberapa temasya sukan tahun ini iaitu Sukan Asia, Sukan Komanwel dan juga Sukan SEA 2019 di Filipina,” katanya kepada pemberita selepasa menghadiri perhimpunan atlet negara di sebuah hotel pada Selasa lapor Sinar Harian.

Beliau berharap momentum kejuaraan yang dilakar pada Sukan SEA lepas dapat diteruskan oleh para atlet dengan penerusan program itu.

Untuk rekod, sebelum program Kita Juara, MSN telah melancarkan beberapa program khas hanya untuk menghadapi temasya Sukan SEA dan Komanwel antaranya Projek Jaya 89’, Gemilang 2001, AsiaComm 2006 dan Cabaran 2010 untuk ke Sukan Olimpik London.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Shapawi berkata sekiranya terdapat perubahan pada struktur KBS selepas pilihan raya nanti, program berkenaan tidak akan terjejas.

“Program Kita Juara itu bukan berdasarkan siapa menteri dan sebagainya tetapi kita rasa program itu tiada masalah untuk diteruskan untuk dua tahun berikutnya,” katanya.

Sementara itu, sebagai penyandang juara bagi temasya Sukan SEA 2017, Ahmad Shapawi berkata sudah semestinya kem negara perlu meletakkan satu standard yang lebih tinggi untuk Sukan SEA 2019 di Filipina.

“Kita berharap dengan nama program ‘Kita Juara’ itu dapat menjadi dorongan kepada semua atlet untuk menjadi juara di luar Kuala Lumpur pula pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut mencabar atlet di bawah Program Kita Juara untuk melakar kejutan dengan meraih pingat emas sekiranya mereka terpilih untuk mewakili negara pada Sukan Asia mahupun Sukan Komanwel.

“Tidak semestinya mereka tidak boleh meletakkan sasaran untuk meraih pingat emas. Saya mencabar bukan atlet di bawah Program Podium sahaja perlu mendapat emas tetapi atlet dalam program lain juga perlu meletakkan sasaran untuk mendapat emas,” katanya.

Menurut Ahmad Shapawi, hampir 50 peratus atlet yang tidak berada dalam Program Podium akan terlibat dalam Sukan Asia dan Sukan Komanwel nanti.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");