Jenayah

‘Pukul 2 Anak Teman Wanita, Beri Bayi Susu Pekat Sebagai Susu Harian’

AMPANG: Seorang penganggur dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan mendera tiga anak teman wanitanya berusia tiga dan lima tahun serta bayi 10 bulan, dengan memukul selain memberikan bayi berkenaan minum susu pekat manis sebagai susu harian.

Memetik laporan BH Online, Hakim Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Zulfikar Rizal Affendy, 26, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Terdahulu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan, bermula dari tarikh tangkap pada 23 Disember tahun lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dan perlu menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam selama enam bulan selepas dibebaskan dari penjara.

Sebelum ini, pada 2 Januari lalu, tertuduh bersama teman wanitanya, Nor Suhada Firhana Mohd Noh, 22, didakwa atas tiga tuduhan mendera tiga beradik berusia antara 10 bulan hingga 5 tahun.

Bagaimanapun, Nor Suhada, yang kini mengandung tidak hadir pada prosiding berkenaan kerana masih dipenjara dan mahkamah kemudian menetapkan 14 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Zulfikar didakwa dengan niat bersama melakukan penganiayaan, pengabaian terhadap tiga anak wanita itu yang terdiri daripada dua kanak-kanak berusia 5 dan 3 tahun termasuk seorang bayi perempuan berusia 10 bulan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Pandan 3/10, Pandan Jaya di sini, antara 16 November hingga 21 Disember 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh menerusi peguamnya memohon dikenakan hukuman ringan kerana ia kesalahan pertama selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, M Arunjothy, membantah rayuan itu dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

“Perbuatan tertuduhmenyebabkan kesan emosi dan trauma pada kesemua mangsa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");