Isu Panas

‘Saya Bekerja, Tak Fikir Soal Pindah’

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, menjelaskan tumpuan yang diberi terhadap Sepanggar bukan platform untuknya berpindah bertanding ke Parlimen itu.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, ia dilakukan atas kapasitinya sebagai menteri bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang merangkumi seluruh Sabah termasuk Sepanggar.

Beliau memberi penjelasan itu susulan susulan khabar akan berpindah ke Sepanggar sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selepas dua penggal mewakili Parlimen Kota Belud.

“Saya buat kerja sebagai menteri di semua kawasan termasuk Sepanggar. Bukan bermakna saya beri peruntukan RM100 juta di Sandakan, saya akan bertanding di Sandakan dan begitu juga di Sepanggar.

“Bagaimanapun, saya serahkan sepenuhnya kepada kepemimpinan parti berkaitan calon pada PRU-14 tetapi secara serius saya sayangkan Kota Belud dan masih banyak perlu dibuat di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Ramai-Ramai di Inanam sempena Ulang Tahun Ke-18 Bandaraya Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai.

Abdul Rahman berkata, jika diberi peluang dicalonkan di tempat lain selain Kota Belud, beliau akan meminta pandangan dan restu pemimpin tempatan terlebih dulu.

Beliau turut menyifatkan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, sebagai pemimpin yang membawa pembangunan pesat di Sabah.

“Ini berbeza dengan pembangkang yang hanya mahukan undi rakyat dan membawa isu emosi sambil mendakwa orang sebelah sana (kerajaan) jahat dan zalim. Inilah masalah pembangkang termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Datuk Seri Shafie Apdal tidak ada kredibiliti dan dia keluar Barisan Nasional (BN) kerana ada sesuatu yang dia tidak dapat dan sekarang hanya mahu membalas dendam.

“BN memikirkan strategi untuk membawa lebih banyak pembangunan kepada rakyat, justeru saya meminta rakyat terus memilih BN kerana hanya kita yang mampu memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");