Jenayah

‘Semua Penumpang Jatuh Atas Lantai Bas’

HULU SELANGOR: “Saya hanya memeluk erat bayi di pangkuan dan tidak peduli tangan sakit terhentak tempat duduk hadapan,” kata Nor Jauna Jasuli, 30, menceritakan detik cemas kemalangan bas ekspres yang dinaiki awal pagi tadi.

Beliau berkata, ketika itu dia turut melihat suami dan dua anak mereka masing-masing berusia tiga dan lima tahun serta penumpang lain turut terjatuh ke lantai bas.

Katanya, dia lima sekeluarga yang duduk di bahagian belakang bertolak dari Kemunting, Perak ke Johor Bahru pada jam 9 malam sebelum kejadian itu berlaku.

“Kebanyakan penumpang tidur, tetapi saya berjaga dan menyedari bas dipandu laju sambil membrek antara empat hingga lima kali menyebabkan kami berasa terhenjut-henjut.

“Selepas itu, secara tiba-tiba terdengar dentuman kuat dan semua terjatuh dari tempat duduk. Bayi saya, Muhammad Noh Afiq Md Sarif, 11 bulan, menangis sekuat hati.

“Memang trauma dan terkejut dengan kejadian ini sebab biasa dengar kes kemalangan bas tapi kali ini saya sekeluarga melaluinya sendiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jauna antara 25 penumpang bas ekspres yang terselamat dalam nahas rempuhan bas dengan treler di Kilometer 400 Lebuh Raya Utara Selatan arah Kuala Lumpur dekat susur masuk Plaza Tol Tanjung Malim di sini, pada jam 12.46 pagi tadi.

Beliau berkata, semua penumpang turun dengan selamat sebelum meneruskan perjalanan ke Johor Bahru menaiki bas transit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bhak Pai berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan empat penumpang bas ekspres berusia antara 26 hingga 56 tahun cedera dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Tanjung Malim, Perak sebagai pesakit luar.

Beliau berkata, hasil saringan ujian air kencing ke atas kedua-dua pemandu treler terbabit didapati negatif dan kes diklasifikasi mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");