Isu Panas

Senarai Calon BN Kedah Bocor Lagi?

ALOR SETAR – Senarai calon BN Kedah bagi PRU14 sekali lagi tersebar di laman sosial dan tular sejak semalam.

Empat muka surat yang tular termasuk surat kepada Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berhubung senarai calon PRU14 BN Kedah, bertarikh 20 Januari 2018.

Pada surat berkenaan dimaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Calon BN Kedah, dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 13 Januari 2018 telah meminta senarai pendek calon yang berpotensi diketengahkan sebagai calon PRU14.

Senarai itu memaparkan 15 calon Parlimen dan 36 calon bagi kerusi Dun Kedah, berbanding senarai yang tular Mac 2017 yang tidak menamakan calon bagi kerusi Dun Lunas, Bayu, Bakar Arang, Bukit Selambau dan Anak Bukit.

Berdasarkan kepada senarai calon itu, lima muka baharu dipertaruhkan dengan menampilkan calon muda, di Parlimen Langkawi (Nor Saidi Nanyan), Pokok Sena (Kamarol Salleh), Alor Setar (Syed Abdul Hafiz Syed Mustapa), Merbok (Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin), Sungai Petani (Datuk Shahanim Mohd Yusoff).

Nama-nama ini bukanlah asing kerana sudah dicanang bakal memeriahkan PRU14, dan turut menjadi bualan penduduk setempat.

Dua kerusi bertukar tempat dengan calon Dun sedia ada, iaitu Sik (Datuk Mohd Tajuddin Abdullah) dan Kulim/Bandar Baharu (Datuk Norsabrina Mohd Noor). Kedua-duanya merupakan Exco kerajaan negeri yang sebelum ini bertanding di kerusi Dun Belantik dan Bandar Baharu.

Sudah pasti muka-muka lama kalangan menteri kabinet dikekalkan berikutan memiliki pengaruh dan sokongan padu di kawasan masing-masing.

Mereka adalah Datuk Othman Aziz (Jerlun), Datuk Seri Mohd Johari Baharom (Kubang Pasu), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap), Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Datuk Othman Abdul (Pendang) dan Datuk Heng Seai Kie (Padang Serai).

Bagaimana pun, calon bagi parlimen Kuala Kedah agak mengejutkan, apabila kembali mempertaruhkan Datuk Latt Shariman Abdullah yang tewas kepada calon Pas, Mohd Nasir Mustafa di kerusi Dun Kubang Rotan pada PRU13.

Calon kerusi Dun juga menyaksikan perubahan. Adun Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain; Adun Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dan Dt Dr Leong Yong Kong (Gurun) tiada dalam senarai.

Tidak mustahil ketiga-tiga Exco itu digugurkan kerana masing-masing sebelum ini terpalit kontroversi, selain dikaitkan dengan isu peribadi selain beberapa tindakan yang dilihat boleh menjejaskan parti.

Senarai itu diisi oleh Md Shukri Shuib, Datuk Md Rozai Shafian dan Datuk Boey Chin Gan.

Beberapa kawasan panas turut berlaku kejutan, antaranya Pokok Sena apabila nama besar seperti Datuk Ahmad Lebai Sudin digantikan dengan Datuk Ariffin Man di Dun Bukit Lada.

Dun Ayer Hitam yang ditandingi Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PRU13) diisi oleh Datuk Abu Hassan Sharif, manakala Dun Kota Siputeh diserahkan kepada Ahmad Azhar Abdullah.

Berdasarkan senarai itu, Adun Bukit Kayu Hitam, Datuk Zaini Japar digantikan dengan Zulfitri Yaakob; manakala Adun Pedu, Kama Noriah Ibrahim digantikan dengan Datuk Ghazali Ibrahim.

Kawasan Sik pula menyaksikan calon sedia ada bertukar kerusi, antara Datuk Tajuddin Abdullah dengan Dr Mansor Abdul Rahman, bagi Dun Belantek.

Di Pendang, calon muka baharu yang disebut-sebut adalah Mohamad Fadzil Zolkifli bagi Tokai. Manakala Bayu (Mohd Noor Mohd Amin) mengenepikan penyandang, Datuk Azmi Che Hussein yang kebelakangan ini dilihat lantang bersuara.

Perubahan ini mungkin antara strategi berkesan untuk pastikan BN terus kekalkan kuasa di Kedah, dengan ‘mencantas’ lebih awal calon yang difikirkan ‘bukan calon boleh menang’.-Sinar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");