Isu Panas

‘Siasat Dalang Pemulangan Tanah Ijok’ – Khalid

SHAH ALAM: Tindakan Kerajaan Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memulangkan tanah yang sudah dirampas daripada dua pemaju perumahan di Ijok pada 2009, dianggap bukan amalan terbaik kerana tidak mencerminkan tatacara perniagaan yang baik dalam mengendalikan aset rakyat negeri itu.

Justeru itu, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mempersoalkan mengapa tanah terbabit dipulangkan kepada pihak berkenaan, sebelum kawasan itu kemudiannya dijual kepada pihak lain.

Serentak itu juga, beliau mahu pihak yang terbabit dalam pemulangan tanah terbabit disiasat oleh pihak berkuasa.

Katanya, beliau pernah menyuarakan isu tanah di Ijok dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada November tahun 2016.

“Mengapa tanah yang dirampas Kerajaan Selangor ketika saya menjadi Menteri Besar pada 2009, dipulangkan semula dan kemudian dijual kepada pihak lain?

“Kes yang dibawa oleh LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd berada di peringkat (rayuan di) Mahkamah Persekutuan ketika penyelesaian dibuat.

“Walaupun menjadi antara pihak yang terbabit dalam kes itu, tetapi saya dan peguamcara tidak pernah hadir atau diajak hadir dalam sebarang perbincangan untuk penyelesaiannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Abdul Khalid mendedahkan, ada pihak tertentu cuba membuat tawaran kepadanya ketika beliau masih menyandang jawatan Menteri Besar Selangor, untuk menyelesaikan isu tanah Ijok itu, ketika prosiding kes berkenaan sedang berjalan.

Namun, katanya, beliau bertekad mempertahankan keputusan dibuatnya kerana ia bertujuan memulihkan projek terbengkalai yang membebankan ribuan keluarga peneroka dan pembeli rumah.

Abdul Khalid juga mendakwa, ada pihak tertentu yang berkepentingan termasuk ejen tanah dan institusi kewangan yang tidak mahu projek berkenaan dipulihkan.

“Kerajaan Selangor tidak seharusnya bersetuju dengan penyelesaian itu kerana ia memberi kesan negatif. Sekarang ada persepsi bahawa penyelesaian itu dibuat dalam keadaan mencurigakan, sekali gus mencemar nama baik dan reputasi kerajaan negeri.

“Saya berharap pihak berkuasa akan menyiasat dengan lebih mendalam perkara ini terutamanya pihak yang terbabit dalam penyelesaian itu untuk kebenaran didedahkan,” katanya.

Semalam, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, menuntut penjelasan Mohamed Azmin berhubung tindakan tergesa-gesa Kerajaan Selangor menyerahkan tanah bernilai RM1.18 bilion di mukim Ijok kepada dua syarikat pada 2016.

Abdul Rahman dilaporkan berkata, tindakan menyerahkan tanah seluas kira-kira 880 hektar itu sebelum kes berkenaan didengar di Mahkamah Persekutuan, menimbulkan pelbagai persoalan kerana keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepada kerajaan negeri dalam isu mendapatkan balik tanah itu.

“Apa justifikasi Azmin untuk menyerahkan tanah ini kepada Mujur Zaman Sdn Bhd dan LCBN Development Sdn Bhd sedangkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkmah Rayuan memihak kepada keputusan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengambil semula tanah itu.

“Kenapa Azmin tidak menunggu kes ini didengar dulu di Mahkamah Persekutuan memandangkan kerajaan negeri menang kes itu. Kenapa tergesa-gesa membuat keputusan yang merugikan kerajaan negeri dan rakyat Selangor,” kata Abdul Rahman,

Malah, pada November tahun lalu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta siasatan dijalankan terhadap isu tanah yang diberikan kerajaan negeri Selangor kepada dua syarikat itu.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");