Sukan Hari Ini

Skuad Dodgeball Perlu Teruskan Rentak Cemerlang Di Pentas Antarabangsa – Khairy

KUALA LUMPUR — Pasukan dodgeball kebangsaan perlu meneruskan momentum kejayaan pada kejohanan antarabangsa bagi mempromosikan sukan berkenaan kepada rakyat di negara ini, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Sehubungan itu beliau mahu Persekutuan Dodgeball Malaysia (MDF) lebih kreatif dalam mempelbagaikan promosi untuk menarik lebih ramai rakyat negara ini menyertai sukan berkenaan.

“Cara terbaik untuk mempopularkan sukan baharu ini adalah mencipta momentum kemenangan dan sekiranya kita mampu lakukannya pada peringkat tertinggi, ia adalah lebih baik.

“Saya difahamkan tahun ini akan diadakan kejohanan dunia di New York, Amerika Syarikat dan saya harap pasukan dodgeball kita sekali lagi melakar kejutan dan menewaskan pasukan-pasukan yang lebih bagus daripada kita terutamanya dari segi ranking dan sebagainya,” katanya berucap pada majlis makan malam MDF, di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Lokman Hakim Ali dan Presiden MDF yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Terdahulu, Khairy mengumumkan insentif sebanyak RM50,000 kepada skuad dodgeball kebangsaan yang meraih pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa sejak beberapa tahun lepas.

Antaranya muncul naib juara Kejohanan Dodgeball Dunia 2016 di Manchester, England selain menyapu bersih tiga kejuaraan pada aksi final Kejohanan Dodgeball Asia Pasifik 2017 Kuala Lumpur (APC2017KL).

Pada masa yang sama, Khairy turut mengumumkan kementerian itu akan menanggung sebahagian daripada bayaran kos sewaan dewan yang digunakan skuad dodgeball kebangsaan bagi menjalani latihan dan pertandingan yang dianggarkan berjumlah RM120,000.

Dodgeball memerlukan pemain membaling bola ke arah lawan sambil mengelak bola yang dibaling ke arah mereka seperti permainan bola beracun.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");