Isu Panas

Tak Benarkan Sabotaj Hubungan Malaysia-China

KUALA LUMPUR – Kerajaan BN tidak akan membenarkan sebarang percubaan merosakkan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hubungan dua hala antara kedua-dua negara kini berada di arah yang betul dan berkembang maju dalam semua sektor.

Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa pemimpin pembangkang cuba mengelirukan dan menyemai kebencian dalam kalangan rakyat dengan menuduh kerajaan gadai kedaulatan negara menerusi hubungan strategik itu.

Memberi contoh, pembeli hartanah warga China di Forest City, Johor, yang didakwa pembangkang akan memperoleh kewarganegaraan Malaysia dan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan yang merupakan kawasan larangan kepada rakyat Malaysia, Najib berkata, semua pembohongan itu bertujuan menanam rasa curiga antara Malaysia dan China.

“Hakikatnya, pemimpin kita yang terdahulu berkata jika pembangkang berkuasa, mereka akan membatalkan semua kontrak dengan China.

“Kita tidak boleh benarkan perkara ini. Jika pembangkang ambil alih, hubungan dengan China akan terhakis,” katanya pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Huazong di Wisma Huazong di Seri Kembangan, di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; Presiden Huazong; Tan Sri Pheng Yin Huah; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong, Duta China di Malaysia Bai Tian, selain 1,000 komuniti China dan pemimpin perniagaan.

Huazong adalah badan induk bagi 118 kumpulan sekerja dan persatuan Cina di seluruh negara lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");