Perak Hari Ini

Taman Awam Teluk Batik Perlu Diberi ‘Wajah’ Baru

MANJUNG:Teluk Batik yang terletak di mukim Lumut lebih kurang 10 minit dari Bandar Seri Manjung tetap menjadi tumpuan untuk beriadah dan perkelahan bagi masyarakat setempat selain mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Pantai yang terletak lebih kurang 6.5 kilometer daripada Bandar Lumut adalah sebuah destinasi pelancongan dan perkelahan yang sesuai untuk dikunjungi kerana memiliki kemudahan-kemudahan istimewa yang diperlukan sebagai tempat pelancongan menarik.

Pantainya yang panjang dan berlatar belakangkan hutan hujan tropika menarik hati sesiapa sahaja yang memandang serta menyediakan pelbagai kemudahan seperti chalet, gerai makan, tandas, tempat persalinan, tempat letak kereta dan taman permainan kanak-kanak.

Kawasan pantai ini dikelilingi oleh keindahan hutan hujan tropika yang merimbun di bukit-bukit yang terdapat di sekelilingnya. Anggaran keluasan Teluk Batik ialah lebih kurang 60 ekar persegi manakala panjang pantainya adalah 1 km.

Taman Awam Teluk Batik

Bukan itu sahaja,berhampiran pantai tersebut tersergam indah taman awam yang dilengkapi pelbagai kemudahan serta struktur binaan yang unik.

Dari jauh anda dapat melihat replika lembing menghiasi sepanjang taman tersebut ibarat seolah berada di laman perkarangan Istana.

Reka bentuk ala ‘Diraja’ sekitar taman menghidupkan pemandangannya ditambah pula dengan pelbagai kemudahan seperti kerusi dan wakaf sesuai sekali untuk anda bersantai bersama keluarga.

Namun, taman tersebut kini seolah-olah terpinggir dan terbiar selepas tiada usaha untuk memulihara dan membersihkannya dilakukan oleh pihak berkaitan.

Senario itu turut dikongsi bersama oleh para pengunjung taman rekreasi itu yang menyatakan kekecewaan mereka terhadap kedaifan kemudahan dan kebersihan kawasan tersebut yang tidak dijaga dan menyakitkan mata memandang.

Rata-rata mereka berpendapat, taman rekreasi itu yang sepatutnya menjadi lokasi untuk keluarga menghabiskan masa lapang kini tidak lagi mampu menjadi tarikan ramai pengunjung.

Tinjauan Peraktoday di taman rekreasi berkenaan baru-baru ini juga mendapati keadaan kawasan itu kelihatan suram dan tidak ramai pengunjung walaupun masih tersergam berhadapan dengan pantai Teluk Batik.

Kebanyakkan kemudahan yang rosak tidak diselenggara dengan baik dan terbiar begitu sahaja alangkah ruginya kemudahan lengkap serta menarik dengan seni rekanya dibiarkan begitu sahaja.

Muzium Siput Terbiar

Turut menarik perhatian penulis adalah rumah tradisional dahulunya merupakan sebuah muzium Siput yang mempamerkan pelbagai jenis koleksi kulit siput tidak beroperasi sejak tiga tahun lalu.

Difahamkan muzium berkenaan diswastakan kepada sebuah syarikat dan ia menempatkan pelbagai jenis siput namun ia tidak lagi beroperasi sehingga kini.

Alangkah baik sekiranya Muzium ini dapat diberi nafas baru kerana ia mempunyai tarikan yang tersendiri.

Seorang pekerja swasta Siti Ruhaibah Kamal, 43, dari Teluk Intan, berkata, keadaan taman rekreasi itu kini jauh berbeza berbanding ketika ia mula dibuka beberapa tahun dahulu.

Katanya, dahulu ketika baru dibuka, tempat rekreasi itu sentiasa ceria, bersih dan kemudahan untuk berekreasi bersama keluarga.

‘‘Sekiranya keadaan ini dibiarkan tanpa apa-apa perubahan, tidak mustahil suatu hari nanti, lokasi ini hanya tinggal nama sahaja,’’ katanya.

Seorang pelajar, Mohamad Akbar Rafik, 17, dari Sitiawan berpendapat, golongan muda kurang berminat untuk menghabiskan masa di tempat rekreasi tersebut memandangkan kawasannya yang suram.

‘‘Kebanyakan remaja lebih gemar ke tempat yang ramai orang seperti di Lumut Waterfront dan paling tidak pun menghabiskan masa di kedai makan,’’ katanya.

Berikutan itu tempat rekreasi ini dilihat mampu menyerlahkan keistimewaannya yang tersendiri jika pihak berkuasa bijak merangka program untuk membangunkan kawasan itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");