Sukan Hari Ini

‘Terima Kasih Misbun’

KUALA LUMPUR: Tanpa berselindung, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang bangkit daripada prestasi tidak menentu hingga mara ke separuh akhir Terbuka India, semalam mengakui Datuk Misbun Sidek adalah individu penting di sebalik pencapaian itu.

Pemain berusia 26 tahun itu, berkata sejak Misbun dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki negara pada Julai tahun lalu, jurulatih itu memainkan peranan penting bagi mengembalikan sinar dalam kerjayanya selepas dihantui masalah kecederaan belakang.

“Ini aksi separuh akhir pertama saya sejak Terbuka China 2016, pencapaian ini meningkatkan tahap keyakinan saya. Ia adalah detik sukar buat saya ketika ini kerana peminat dan pihak pengurusan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) mahu saya menghasilkan keputusan yang baik.

“Misbun banyak membantu saya, beliau hadir dalam pasukan tujuh bulan yang lalu dan beliau seperti bapa saya sendiri. Kami banyak bercakap dan kami menjadi rapat, ia jelas memberikan perbezaan besar dalam kerjaya saya terutama kejohanan ini,” kata Iskandar menerusi laman web rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) lapor Berita Harian.

Cabaran Iskandar terhenti di separuh akhir selepas tewas kepada pilihan keempat dari China, Shi Yuqi 21-18, 10-21, 19-21.

Iskandar sebelum itu mencuri tumpuan apabila berjaya menyingkirkan pemain pilihan kedua kejohanan dari India, K Srikanth ketika aksi pusingan kedua dengan kemenangan 21-19, 21-17.

“Ini adalah kemenangan terbesar dalam kerjaya saya selepas pulih daripada kecederaan. Sebelum itu saya terpaksa berehat selama enam bulan, saya kembali beraksi pada Septermber.

“Pada 2015, saya berada di kedudukan ke-21 dunia tetapi disebabkan kecederaan berkenaan, ranking saya jatuh dan saya agak kecewa. Saya beritahu kepada jurulatih, ini mungkin tahun terakhir saya dan saya akan buat sehabis baik.

“Saya tahu, Srikanth pemain yang bagus dan saya hanya bermain dengan corak permainan sendiri. Sebenarnya, tiada sasaran khusus dalam kejohanan ini cuma saya mahu menewaskan pemain di ranking yang lebih tinggi,” kata Iskandar.

Bekas naib juara Master Malaysia 2016 itu, berkata pencapaian kali ini hadir tepat pada waktunya dengan dia bakal membantu skuad negara menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah yang bermula Selasa ini.

“Ini juga kejohanan yang menjadi pusingan kelayakan ke Piala Thomas. Jadi, sudah pasti saya mahu buat yang terbaik dan membantu Malaysia layak ke pusingan akhir dan prestasi di India meningkatkan lagi tahap keyakinan saya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");