Berita Hari Ini

‘Terima Kasih PM’

BANTING: Low Siang Huat, nelayan Malaysia yang dibebaskan pihak berkuasa Indonesia semalam kerana menceroboh perairan negara jiran itu, berkata beliau sepatutnya dibebaskan pada 22 Mei depan namun, ia berlaku tiga bulan lebih awal.

Beliau berkata perkara itu dapat direalisasikan atas usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia.

“Terima Kasih saya ucapkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan kerana mengusahakan pembebasan saya dari republik itu,” kata Low, 59, yang tiba di tanah air semalam setelah ditahan selama setahun iaitu sejak 16 Feb 2017 di Indonesia.

Menerusi laporan Bernama, Siang Huat berkata keluarganya yang mengadakan acara tradisi ‘makan besar’ malam ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina sekali gus meraikan pembebasannya adalah amat bermakna buat dirinya.

“Ini hadiah cukup bermakna sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di Taman Delima, Banting.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di Subang pada 2.20 petang setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim, Batam.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Bakar dalam kenyataan hari ini berkata pembebasan Low adalah atas kesepakatan yang dicapai Najib dan Presiden Indonesia Joko Widodo semasa Rundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia di Kuching, Sarawak pada November lalu.

Siang Huat yang berpangkalan di Pulau Ketam, Selangor dan mempunyai dua anak berusia 26 dan 28 tahun, berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk menghubungi anggota keluarganya sepanjang berada dalam tahanan di Rumah Tahanan Negara Tanjung Pinang, Kepulauan Riau.

“Anggota keluarga saya ada melawat saya sebanyak tujuh kali ketika ditahan di pusat tahanan itu,” katanya.

Beliau berkata sesetengah nelayan mungkin tidak sedar mereka telah memasuki zon larangan yang ditetapkan pihak berkuasa asing.

Beliau turut memohon kerajaan Indonesia supaya mempercepatkan proses pembebasan lima lagi nelayan Malaysia yang ditahan atas kesalahan menceroboh.

Mereka ialah Chia Kee Chan, 52, yang ditahan di Rumah Tahanan Negara Labuhan Deli, Medan; Kamaruzaman Awi, 47 dan Abdul Rashid Nik, 53, ditahan di Pengkalan Penguatkuasa Laut Indonesia di Lanal Terempe, Riau; Mahabob Hasimat, 55, ditahan di Rumah Tahanan Negara Tanjung Pinang; dan Leong Biang Seng, 61, di Penjara Batam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");