Sukan Hari Ini

Tiada Layanan Istimewa Dalam Skuad Selangor

KUALA LUMPUR: “Jangan fikir awak lama sudah tidak bermain, fikirkan apa sumbangan terbaik awak boleh berikan malam ini (malam tadi),” kata pembantu jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir.

Itulah kata-kata semangat yang dilontarkan barisan kejurulatihan kepada pemain muda mereka, Syahmi Safari yang diturunkan buat kali pertama musim ini pada aksi bertemu Melaka United (MU) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Nyata percaturan P Maniam untuk terus memberi kepercayaan kepada pemain muda dan meletakkan Syahmi di posisi sayap kanan berbanding posisi sayap pertahanan seperti musim lalu mencetus impak apabila pemain Skuad Bawah 23 tahun (B-23) meledak dua gol sekali gus membantu The Red Giants menang 4-1 ke atas pasukan pelawat.

“Meskipun Selangor dibarisi pemain muda, kami sentiasa memberi persaingan dan mengingatkan bahawa tiada jaminan untuk mereka terus beraksi dalam kesebelasan utama.

“Semuanya bergantung kepada prestasi semasa dan ketika sesi latihan. Malah sebelum perlawanan, kami menitipkan kata-kata semangat kepada Syahmi dan kita dapat lihat dia membuktikan kemampuannya malam ini,” katanya pada sidang media, malam tadi lapor Berita Harian.

Jaguh Lembah Klang itu menjadikan skuad Sang Kancil mangsa kedua mereka selepas membelasah lawan 4-1 yang menyaksikan penyerang Sepanyol, Rufino Segovia terus memperaga bisanya dengan ledakan dua gol pada aksi terbabit sekali gus menghimpun empat gol dalam dua perlawanan setakat ini.

Mengulas lanjut kemenangan besar pada aksi terbabit, Muhammad Nazliazmi melontarkan pujian kepada barisan pemainnya yang tampil dengan persembahan lebih kemas dan berjaya memanfaatkan peluang yang terhidang.

“Kita hanya boleh memberi sokongan dan dorongan kepada mereka kerana selebihnya, pemain yang menunjukkan apa yang mereka mahu buktikan apabila berada di atas padang.

“Jadi, kredit kepada pemain kerana tiada tonik ajaib atau sebagainya. Semuanya kerana mereka percaya kepada kemampuan diri sendiri,” katanya.

Selepas meraih mata maksimum daripada dua perlawanan, skuad Merah Kuning akan meneruskan misi meraih tiga mata penuh apabila berkunjung ke laman lawan untuk aksi bertemu Terengganu, Sabtu ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");