KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi lagu Jampi, Hael Husaini yang meraih trofi Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-32 menyifatkan kemenangannya sebagai menumpang rezeki anak angkat, Nur Helena.
Hael atau nama penuhnya, Hal Husaini Razmi, 29, berkata, sejak kehadiran Helena yang dipelihara sejak Mei tahun lalu, rezekinya dalam bidang seni mencurah-curah.
“Helena adalah rezeki terbesar saya. Diakui sejak dia hadir dalam hidup saya., rezeki semakin murah. Kemenangan saya pada AJL 32 saya tujukan kepadanya.
“Walaupun pada awalnya saya agak bimbang untuk memikul tanggungjawab ini, tapi saya tetap mencuba memberikan yang terbaik. Sekarang saya tak boleh bayangkan hidup ini tanpa dirinya,” kata Hael pada sidang media AJL 32 di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, malam tadi.
Memetik laporan BH Online, pada malam kemuncak AJL32, Jampi ciptaan bersama Hael dan Ezra Kong, menewaskan 11 lagu lain. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, sebuah trofi dan baucar CJ Wow Shop bernilai RM10,000.
Diusik dengan pertanyaan apakah dia akan menaikkan kadar bayaran selepas diangkat sebagai juara, Hael berkata, ada perkara lain yang harus diberi fokus selain bersikap demanding seperti itu.
“Tak terfikir pun nak naikkan harga kerana fokus saya selepas ini adalah untuk mengembangkan lagi nama saya,” kata komposer lagu Pematah Hati nyanyian Nabila Razali yang cukup popular ketika ini.
Mengakui tak menang tangan kerana sibuk menerbitkan lagu penyanyi lain, bekas peserta Akademi Fantasia (AF) 2013 ini memberitahu, dia bakal bekerjasama dengan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Insya-Allah, akan ada satu projek khas bersama penyanyi popular itu. Perancangannya dalam tahun ini juga cuma saya tak boleh nak cerita dengan lebih lanjut…Kena tunggu,” katanya teruja.