Berita Hari Ini

Undang-undang Berita Palsu Mampu Kekang Ketegangan Kaum – Ismail Sabri

BERA– Cadangan memperkenalkan undang-undang menangani berita palsu bukan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat tetapi bertujuan mengekang penyebaran fitnah melampau yang boleh menimbulkan ketegangan kaum, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah kata beliau, berbeza dengan dakwaan pembangkang, kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang lebih terbuka dan ini dibuktikan menerusi pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) .

“Kita tak pernah akan sekat kebebasan rakyat, yang banyak sekat kebebasan rakyat ini adalah zaman Tun Dr Mahathir Mohamad…beliau wujudkan pelbagai akta termasuk ISA.

“Tetapi zaman Datuk Seri Najib, beliau telah buktikan kerajaan liberal dari segi kebebasan sebab itu kita hapuskan ISA dan pinda AUKU untuk beri kebebasan kepada pelajar,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera ditemui selepas menyampaikan angpau kepada 238 penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan baru-baru ini bahawa cadangan memperkenalkan undang-undang tersebut bertujuan menyekat rakyat daripada mengkritik kerajaan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata bekas perdana menteri itu juga tidak perlu gusar sekiranya beliau tidak membuat kenyataan palsu.

“Bagi saya senang sahaja, bagi orang yang tidak membuat cerita bohong atau berita palsu, mereka tidak perlu takut dengan undang-undang ini,” katanya.

Ismail Sabri sebelum itu turut meluangkan masa mengunjungi kediaman Ketua MCA Bera Datuk Wai Chee Cheng bagi meraikan Tahun Baharu Cina.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");