Berita Hari Ini

Urus Niaga Di Malaysia Bakal Jadi Hampir ‘Tanpa Tunai’ Menjelang 2025 — Nazir

KUALA LUMPUR – Urus niaga di Malaysia dijangka menjadi hampir ‘tanpa tunai’ menjelang 2025, memandangkan kadar pembangunan teknologi hari ini, ditambah dengan persaingan sengit untuk meraih untung daripada pengoptimuman teknologi dalam perbankan, kata Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak.

Dalam satu artikel bertajuk ‘Thriving in a Disrupted World’, yang ditulisnya, Nazir berkata, sekiranya jangkaan ini menjadi kenyataan, mesin juruwang automatik (ATM) nampaknya akan menjadi suatu yang retro sama seperti pondok telefon pada hari ini dan cawangan bank juga akan sukar untuk ditemui.

“Robot dan kepintaran buatan (AI) akan menggantikan peratusan besar pengurus aset dan penganalisis kredit, dan mungkin malahan bank-bank pelaburan. Interaksi antara sesama pelanggan juga akan menyebabkan bank tidak lagi akan menjadi perantara.

“Begitu juga, blockchain dan fungsi-fungsi lejar automatiknya, serta mata wang kripto, akan mempercepatkan kaedah baharu pembiayaan perdagangan dan pindahan wang yang tidak menggunakan bank,” katanya.

Menurut Nazir, antara ancaman terbesar terhadap bank adalah syarikat platform gergasi, dan memberi contoh dua platform terbesar China, Alibaba dan Tencent, yang telah menubuhkan bank berlesen untuk menyediakan pinjaman kepada pengguna dengan pemberian kredit yang pantas dengan menganalisis data tingkah laku pengguna yang dimiliki mereka.

Alipay Alibaba memiliki lebih 520 juta pengguna manakala WeChat Tencent menghampiri paras satu bilion pengguna.

Dari segi pinjaman, Ant Financial Alibaba membuat pengeluaran  berjumlah US$117 bilion (US$1 = RM3.88) dalam tempoh empat tahun manakala WeBank lebih US$15 bilion dalam tempoh 27 bulan sehingga  Ogos 2017.

Bagaimanapun, katanya, dalam  berdepan dengan persaingan sengit ini, ironinya institusi perbankan semakin dikawal ketat dan setiap langkah strategik diteliti dengan rapi oleh pengawal selia.

“Pengawal selia mahu bank-bank menjadi lebih selamat dan membosankan, dan sememangnya kita tertidur ketika syarikat teknologi menerobos ke kawasan permainan kita dan bermain dengan mainan kita. Hambatan lain bagi bank-bank kini adalah bebanan aset legasi, seperti cawangan dan sistem operasi dan pekerja yang mengendalikannya.

“Hari ini hampir tidak ada lagi sebarang perbincangan tentang penggabungan bank kerana walaupun hanya sekadar memikirkannya sahaja akan timbul pandangan negatif yang sekali gus akan menafikan hasrat itu,” katanya.

Beliau berkata pengajaran paling penting daripada revolusi perindustrian yang lepas adalah perniagaan yang tidak memberikan perhatian kepada cabaran disruptif tidak akan berjaya dan bank-bank harus memastikan ia tidak terdedah kepada peminjam besar yang tidak akan mampu bertahan daripada serangan Revolusi Perindustrian Keempat.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");